|
|
KOTA KINABALU 26 Mac - Kerajaan negeri akan memperkenalkan penggunaan baja kompos dalam penanaman padi di negeri ini kerana ia boleh meningkatkan lagi hasil pengeluaran bahan makanan itu.
Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musabah Jamli berkata, kaedah baru secara tradisional itu bagaimanapun akan diperinci keberkesanannya sebelum mula dilaksanakan secara berperingkat di negeri ini.
"Kerajaan telah mengeluarkan wang berjuta-juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur dan prasarana pertanian di negeri ini bagi memudahkan warga petani mengusahakan sawah-sawah mereka.
"Kita sentiasa berusaha mencari kaedah terbaik bagi membantu petani. Jadi, untuk merealisasikan kaedah ini, saya akan berbincang dengan kementerian terlebih dahulu mengenai maklumat terbaru itu supaya ia benar-benar memberi faedah kepada petani," katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat mengenai penggunaan baja kompos oleh wakil Global Quest Management Asia Sdn. Bhd. (Global) di sini hari ini.
Majlis taklimat dan dialog bersama rombongan Global itu dihadiri oleh beberapa pengilang padi daerah Kota Belud dan ahli-ahli Persatuan Pertubuhan Peladang Cawangan Kota Belud serta petani tempatan.
Global yang mempunyai 123 cawangan di seluruh dunia diwakili oleh Dr. Arthur G. Robinson;, Victor Lee;, Dr. Ismail Idris dan Dr. Steve Rajan Farukh Abdullah.
Menurut Musbah, berdasarkan penjelasan daripada wakil Global, penggunaan baja kompos dapat menghasilkan 10 hingga 12 tan padi sehektar berbanding kurang 10 tan sehektar yang diperoleh pada masa ini.
"Jika terbukti, kaedah itu sudah tentu menguntungkan warga tani sekali gus meningkatkan pengeluaran beras negara.
"Selain itu, penggunaan baja kompos itu juga tidak dicemari dengan kesan-kesan penggunaan baja kimia yang memudaratkan kesihatan pengguna dalam jangka masa panjang," katanya.
Sementara itu, Musbah berharap, golongan petani di negeri ini sentiasa peka dengan kaedah-kaedah terbaru yang mampu meningkatkan hasil tanaman mereka.
Selain itu, katanya, mereka juga harus merebut segala peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi meningkatkan pendapatan.