Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Sunday, May 17, 2009

Jus tebu telur ke Singapura


RAMLI Ahmad memikul seikat tebu telur yang baru ditebang di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian, Jelebu, baru-baru ini.


JELEBU Mei - Mungkin ramai yang tidak tahu tanaman tebu telur yang diusahakan di sekitar kawasan Simpang Durian dekat sini menjadi pilihan utama sebuah syarikat pengilang air tebu di Johor untuk dibotol serta dipasarkan sebagai jus di Singapura.

Kadar kemanisan tinggi, warna hijau keemasan serta aroma harum air yang dihasilkan merupakan antara faktor utama tebu telur dari kawasan tersebut mendapat permintaan tinggi.

Faktor persekitaran yang sangat sesuai seperti iklim panas berpanjangan serta tanah liat berpasir di kawasan itu menyumbang kepada kualiti tinggi jus tebu telur yang dihasilkan.

Seorang pengusaha tanaman tersebut, Ramli Ahmad, 38, berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri banyak memberi bantuan dari segi memasarkan air tebu telur keluaran ladangnya untuk dieksport ke Singapura.

Katanya, permintaan tinggi terhadap air tebu telur dari Simpang Durian di negara jiran itu sememangnya satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

''Saya sangat gembira bila mengetahui FAMA negeri membekalkan tebu telur yang diusahakan di ladang saya kepada pengilang jus tebu untuk dieksport ke Singapura," ujar Ramli ketika ditemui di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian dekat sini baru-baru ini.

Beliau menambah, ladang yang diusahakan dengan bantuan dua pekerja itu mengeluarkan 500 ikat tebu telur sebulan khusus untuk dibekalkan kepada FAMA.

Secara purata, beliau memperoleh kira-kira RM10,000 setiap musim hasil jualan tebu telur keluaran ladang seluas 4.8 hektar yang disewa daripada penduduk setempat sejak tujuh tahun lalu.

Ujarnya, dia merancang untuk menambah keluasan ladang tebu sebanyak 2.4 hektar lagi menjelang pertengahan tahun ini bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

''Bagi memastikan kualiti tebu terjamin, saya mengambil langkah-langkah kawalan penyakit seperti semburan racun makhluk perosak mengikut jadual yang ditetapkan.

''Di samping itu, Pejabat Pertanian Simpang Durian banyak memberi khidmat nasihat berhubung kaedah-kaedah penanaman serta penjagaan tanaman," katanya.

Menurut Ramli lagi, kegiatan menanam tebu telur merupakan sumber pendapatan utama kepada keluarganya menjangkaui dua generasi.

Beliau memberitahu, bapanya, Ahmad Bidin, banyak memberi tunjuk ajar tentang ilmu yang diperlukan bagi menghasilkan tebu telur berkualiti tinggi.

''Kini, anak sulung saya, Mohd. Firdaus, 5, rajin menemani saya ke ladang. Dia turut membantu sekadar yang terdaya mengikut kemampuannya sebagai seorang kanak-kanak.

''Saya berharap Mohd. Firdaus akan mewarisi ilmu menanam tebu dan mengambil alih pengurusan serta memajukan ladang tebu telur yang sedang diusahakan ini apabila dia dewasa," ujarnya.

Sementara itu, Pembantu Ehwal Ekonomi FAMA Simpang Durian, Nor Effindi Liki, 32, berkata, Ramli merupakan salah seorang daripada 20 pengusaha ladang kontrak di kawasan berkenaan yang menghasilkan tebu telur khusus untuk dipasarkan oleh FAMA.

Katanya, secara keseluruhan, keluasan ladang kontrak tanaman tebu telur di sekitar kawasan tersebut adalah sebanyak 50 hektar dan FAMA Simpang Durian berhasrat menambah hingga 10 lagi pengusaha baru menjelang penghujung tahun ini.

Sumber :utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails