Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Friday, May 8, 2009

Terengganu lembah jagung hibrid

400 hektar tanah di empat daerah terbabit dalam projek besar-besaran


HULU TERENGGANU: Terengganu akan menjadi lembah tanaman dan pengeluar utama jagung hibrid, sekali gus meningkatkan nilai eksport hasil tani itu ke negara luar apabila kerajaan negeri kini mengenal pasti tanah seluas 400 hektar di empat daerah di negeri ini untuk meningkatkan penanamannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata empat daerah yang akan terbabit dalam projek penanaman jagung hibrid secara besar-besaran itu ialah Hulu Terengganu dengan keluasan tanah 120 hektar; Marang (80 hektar); Besut dan Setiu (80 hektar) serta 80 hektar lagi tanah di Kemaman.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian sudah menjalankan kajian ke atas tanah di empat daerah berkenaan dan mendapati tanah di kawasan itu sangat sesuai dan subur untuk penanaman jagung hibrid yang kini semakin mendapat sambutan khususnya di kalangan penggemar jagung.

"Kita akan mula memilih peserta yang berminat menyertai projek penanaman jagung hibrid ini dan setiap peserta yang mengambil bahagian akan diberikan tanah seluas dua hektar. Menariknya, segala kerja pembajakan serta benih akan diberi percuma oleh kerajaan negeri.

"Kita menjangka, dalam tempoh dua bulan, tanaman jagung hibrid ini akan mengeluarkan hasil dan setiap peserta dijangka mampu memperoleh pendapatan antara RM7,000 dan RM8,000 seorang," katanya selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat bersama Universiti Sains Malaysia di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) akan membeli hasil tanaman jagung hibrid daripada peserta untuk dijual kepada sebuah syarikat di ibu negara yang akan menguruskan proses mengeksport hasil tani itu ke luar negara.

Katanya, lebih 800 hektar tanaman jagung yang sebahagian besarnya diusahakan secara kecil-kecilan oleh penduduk Hulu Terengganu tidak mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport yang semakin meningkat kerana kualiti dan keenakan jagung hibrid yang tinggi.

"Kita akan terus mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk penananaman jagung hibrid ini kerana kita sedar permintaan pasaran terhadap bahan makanan ini semakin meningkat dan membanggakan. Sekarang pun kerajaan negeri sudah membeli lima jentera pembajak untuk diagihkan di kawasan tanaman jagung ini.

"Selain itu kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM150,000 untuk membina sepuluh kiosk menjual jagung di seluruh negeri ini yang dijangka dimulakan pada tahun ini. Kita yakin kiosk ini mampu memberi daya penarik untuk orang ramai membeli pelbagai produk berasaskan jagung," katanya.

Sumber : Berita Harian

Related Posts with Thumbnails