Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, June 10, 2009

Timur: Tanaman herba pengganti gula


BACHOK: Bahan pemanis sememangnya penting dalam penyediaan makanan dan minuman, apatah lagi di kalangan masyarakat Kelantan yang terkenal gemarkan juadah manis dalam diet harian.

Namun, manis berlebihan khususnya pengambilan gula dari tebu boleh mengundang padah kepada kesihatan diri kerana boleh menjadi punca kencing manis.

Menyedari kepentingan bahan pemanis yang tidak memudaratkan kesihatan, dua sahabat dari Kampung Gelung Badak, Nazli Idris, 35, dan Abdul Mutalib, 39, sepakat mengusahakan tanaman herba renek, Stevia Rebaudiana yang juga dikenali sebagai pokok gula, sejak tiga tahun lalu. Stevia Rebaudiana adalah herba renek yang berasal dari Paraguay. Rasa manis yang terhasil daripada daun tumbuhan dikatakan diguna oleh masyarakat peribumi Paraguay dan Brazil sebagai pemanis minuman, makanan dan ubat-ubatan sejak ratusan tahun lalu walaupun penggunaan pertamanya direkodkan saintis, Antonio Bertoni, di Paraguay pada 1887.

Tumbuhan itu juga dikenal pasti tidak mengandungi kalori, lemak, karbohidrat serta toksid menjadikan ia paling sesuai sebagai pemanis semula jadi menggantikan gula dan pemanis tiruan lain seperti aspartame dan sukrosa.

Nazli berkata, ketika memulakan usaha pada 2007, mereka hanya bermula dengan kebun seluas 0.2 hektar untuk menanam tumbuhan herba itu sebelum memperluaskannya kepada 1.2 hektar ekoran permintaan tinggi terhadap hasil herba itu.

"Tanaman herba ini ditanam menggunakan keratan batang yang disemai pada kotak semaian yang menggunakan sabut dan serat akar kayu yang diimport dari Belanda dan Norway, sehingga mencapai ketinggian 12cm yang mengambil masa kira-kira 45 hari, sebelum dipindahkan ke atas tanah.

"Tumbuhan herba ini boleh mula dituai pucuk dan daunnya selepas usia tiga bulan dan mampu bertahan selama tiga tahun tetapi tumbesarannya akan terhenti apabila ia mula mengeluarkan bunga.

"Setakat ini, tumbuhan ini tidak berdepan sebarang masalah tumbesaran. Walaupun ia boleh menjadi pemanis tetapi serangga perosak tidak mengganggunya, kecuali herba ini tidak boleh terdedah kepada hujan," katanya ketika ditemui.

Nazli berkata, daun Stevia Rebaudiana yang dituai akan dikeringkan dengan dijemur selama dua hari atau selama kira-kira 30 minit dengan menggunakan alat pengeringan haba.

"Namun, untuk menghasilkan ekstrak Stevia Rebaudiana dalam bentuk serbuk, kami menghantar daun yang dituai ini ke sebuah kilang memprosesnya di Pulau Pinang.

"Ketika ini, ekstrak stevia yang boleh digunakan sebagai pengganti gula dalam makanan, minuman dan perubatan ini dijual pada harga RM15 sebotol, manakala daun stevia kering yang boleh dijadikan teh atau pemanis dalam masakan harian dijual pada harga RM40 sekilogram," katanya.

Tanpa menyatakan jumlah pengeluarannya setakat ini, Nazli berkata, permintaan terhadap pemanis daripada Sevia Rebaudiana itu menyaksikan hasil keluaran mereka kini dipasarkan di seluruh negara.

Malah, menerusi syarikat, Kelbio Industries (Kelbio), yang diusahakan dua sahabat itu kini dalam perancangan menghasilkan ekstrak dalam bentuk cecair ini bagi membantu pesakit kencing manis menambah kadar insulin dalam badan.

Sumber :Berita Harian Online

Related Posts with Thumbnails