|
|
KAEDAH pertanian integrasi di Lembah Hijau Multifarm (LHM) di Solo, Jawa Tengah, Indonesia yang hanya bermodalkan 400 ekor lembu baka dari Belanda diternak secara kandang teduh ternyata menampakkan kejayaan memberangsangkan.
Ladang tersebut berupaya menghasilkan pelbagai hasil pertanian hiliran yang dibangunkan di kawasan seluas lapan hektar lebih 10 tahun lalu.
Apa yang dimaksudkan ialah hasil hiliran daripada ternakan lembu bukan pedaging itu bermula dengan tinja dimanfaatkan sepenuhnya untuk penghasilan baja.
Di kawasan itu juga diusahakan ternakan ikan patin, nurseri pokok bunga, kebun buah-buahan dan sayur serta sawah padi.
Bagi mendapatkan gambaran dari dekat mengenai LHM, Utusan Malaysia telah melawat lokasi berkenaan yang menjadi contoh kepada konsep pertanian integrasi dan ternakan yang paling berjaya di Indonesia.
Lazimnya, apabila anda melawat ladang atau kandang lembu pasti akan menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau busuk najisnya.
Bagaimanapun keadaan itu berbeza dengan apa yang terdapat di LHM kerana bau busuk najis lembu berupaya diminimumkan.
Seorang pegawai di LHM, Eni Kusuraowati, 26, berkata, rahsia najis lembu di situ kurang berbau busuk ialah berpunca daripada pemakanan haiwan tersebut.
''Kesemua lembu di sini diberi makan bahan organik jerami padi supaya najis yang terhasil dipercayai mengandungi nilai perubatan kerana lembu dalam kandang ini dibiar berkubang dengan najis sendiri.
''Buktinya kesemua lembu di sini bebas daripada sebarang penyakit haiwan,'' ujarnya.
Satu lagi kelebihan yang terdapat di LHM ialah mengutamakan konsep mesra alam.
Ini kerana ia turut menjaga alam sekitar kerana kotoran daripada kandang lembu tidak dialir ke sungai berdekatan, sebaliknya air najis itu ditapis lebih tiga kali melalui dalam kolam berliku.
Tapis najis lembu itu turut dicampur dengan serbuk kayu gergaji yang boleh menyerap urin dan akhir sekali kolam penapis itu menggunakan keladi bunting yang timbul di permukaan air kolam berfungsi sebagai penyerap segala kekotoran.
Pada satu bahagian pula terdapat kolam ternak ikan patin bersebelahan kandang lembu.
Ikan patin itu memakan sisa plankton daripada tapisan najis lembu tersebut.
Bagaimanapun kata Eni, ikan patin seberat minimum satu kilogram seekor selepas berusia 10 bulan itu disaring beberapa minggu di dalam akuarium air bersih sebelum dijual.
Di samping itu, LHM turut memanfaatkan kumbahan najis lembu yang dicampur dengan jerami padi diperap beberapa bulan sehingga menjadi baja kompos bukan sahaja untuk kegunaan tempatan, malah memenuhi pasaran eksport termasuk ke Malaysia.
Di LHM juga terdapat nurseri anak-anak pokok bunga yang dimanfaatkan daripada baja najis lembu, selain kebun buah-buahan, sayur-sayuran dan sawah padi yang subur berdekatan kandang lembu.
''Di LHM ini kita gabungkan semua aspek berdasarkan kaedah saintifik dan tradisi yang ternyata membuahkan hasil yang memuaskan,'' kata Eni.
Demikianlah betapa kreatifnya sistem ternakan lembu di LHM sekali gus boleh menghasilkan pelbagai penghasilan hiliran yang begitu dikagumi.
Sementara itu ahli akademik yang juga Setiausaha Eksekutif Karaton Surakarta Hadiningrat Malaysia, Datuk Dr. Baha Nordin dalam kunjungan ke LHM itu berkata; ''Memang banyak perkara yang boleh dipelajari dari situ dan dipraktik pula dalam sektor pertanian di negara kita.
''Di Lembah Hijau Multifarm ini kita dapati setiap aspek dimanfaatkan sekali gus membuktikan sektor pertanian juga memerlukan daya kreatif bagi menghasilkan pelbagai nilai tambah ekonomi,'' ujarnya.
Kata Baha, kaedah ternakan dan pertanian LHM memang patut dijadikan contoh oleh mereka yang ingin menceburi sektor berkenaan kerana ia begitu ekonomik dan berupaya menjana keuntungan lumayan.
''Saya sendiri akan meninjau lokasi di kampung halaman saya berdekatan dengan kawasan sejuk di Perak bersebelahan jalan menuju ke Cameron Highlands untuk mencuba kaedah pertanian seperti di LHM itu,'' ujarnya.
LHM bukan sahaja berupaya menjadi pusat ternakan dan pertanian yang berjaya, malah turut dimanfaatkan sebagai destinasi pelancongan sambil mendapat faedah menerusi lawatan berbayar kepada pelawat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sedikit masa dahulu pernah mengadakan lawatan ke LHM tersebut.
Di samping itu beberapa agensi pertanian termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang dari negara ini turut mengadakan lawatan sambil belajar ke LHM yang ternyata berjaya mengutip banyak ilmu bantu berkaitan dengan pembangunan sektor pertanian setempat.
Sumber:Utusan Malaysia