Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, April 23, 2013

Jaminan jadi usahawan

Latihan amalan pertanian yang memenuhi piawaian dan kehendak pasaran.
PENGALAMAN lebih 17 tahun dalam latihan kemahiran terutama sektor pertanian telah memberikan inspirasi kepada Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Nordin Abdul Malek untuk menjayakan misi melahirkan usahawan tani generasi baru.
Kejayaan beliau melahirkan ramai usahawan tani muda di seluruh negara telah diperakui juga oleh banyak pihak sebagai satu anjakan berganda (quantum leaps).
Kini fokus beliau bukan sahaja mahu melahirkan usahawan baru tetapi pelan melonjakkan pencapaian usahawan tani muda kepada usahawan berpendapatan tinggi dan seterusnya bergelar jutawan.
Oleh itu, beliau telah menubuhkan sebuah pusat latihan pertanian yang dikenali sebagai iGROW.
Modul latihan dan amali iGROW berteraskan keusahawanan sepenuhnya bagi memastikan semua graduan yang dilahirkan bukan hanya berkebolehan dalam bidang teknikal pertanian tetapi juga akan benar-benar bersedia untuk terus menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan.
"Sudah tiba masanya, kita memberikan perhatian serius kepada usaha memastikan semua graduan pertanian menjadi usahawan dengan mengusahakan pertanian secara komersial dan berskala besar, " katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) berkata, walaupun pelbagai inisiatif dan insentif disediakan kerajaan tetapi hasilan masih belum begitu membanggakan.
"Ini kerana bilangan usahawan di kalangan graduan pertanian masih rendah, apatah lagi untuk dibanggakan sebagai pengeluar bersaiz besar,'' ujarnya.
Namun, beliau berbangga kerana berjaya menghasilkan ramai usahawan tani muda di kalangan graduan beliau di salah satu pusat latihan pertanian swasta sebelum ini.
Kejayaan terbaru beliau yang terbukti hebat ialah menjayakan program MyAgrosis.
Ini kerana dana MyAgrosis di Agrobank kebanyakannya dimanfaatkan graduan institut milik beliau sebagai kumpulan peminjam tertinggi di negara ini berbanding institusi lain termasuk pusat latihan pertanian awam sendiri.
Selain itu, konsep latihan iGROW juga bersifat pembangunan pertanian di kampung dan desa iaitu dengan cara memanfaatkan ruang dan potensi pertanian di kampung-kampung.
Walaupun begitu, pendekatan dan amalan pertanian adalah berteraskan ilmu, kemahiran, teknologi serta inovasi baru dan segar.
"Konsep ladang iGROW sendiri menggabungkan pelbagai sumber pertanian cara baru di dalam satu kawasan iaitu dusun buah-buahan, tanaman sayur-sayuran, akuakultur, ladang kelapa sawit, ternakan ruminan dan pelancongan inap ladang (moden dan klasik)", ujar Nordin lagi.
Berbeza dengan pusat latihan biasa yang selalunya menempatkan keseluruhan kompleks (kediaman dan ladang) dalam satu kawasan, Nordin pula membahagikan iGROW kepada kawasan kediaman pelatih, tapak amali dan ladang projek berskala besar secara berasingan di sekitar Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.
"Kami juga ingin memastikan proses latihan dan keusahawanan ini, akan memberikan impak serta limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat terutama dalam memajukan tanah terbiar di kampung-kampung," tegas Nordin.
Kehadiran iGROW memberi nilai tambah kepada pembangunan Mukim Pulau Tiga yang telah diumumkan sebagai perintis program My Kampung My Future oleh kerajaan pada hujung tahun lalu.
Malah, keserasiannya dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, membolehkan beliau mendapat kerjasama pelbagai agensi berkaitan terutama Agrobank.
Pakej latihan bersepadu ini sangat penting sebagai persediaan untuk memastikan keberhasilan yang tinggi dalam usaha beliau melahirkan usahawan tani di kalangan semua graduan beliau.
Sungguhpun iGROW berkonsepkan 'Kolej Latihan Dalam Kampung', Nordin yakin pengalaman dan kejayaan beliau selama ini melahirkan golongan muda sebagai usahawan barisan hadapan pertanian, membolehkan beliau menggunakan resipi baru untuk melahirkan usahawan tani generasi baru bertaraf dunia.
Related Posts with Thumbnails