Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, April 30, 2013

Tiada bau hanyir

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Perasaan puas dan bangga dapat dirasai bagi tiga sahabat tatkala melihat ikan tilapia merah diternak sejak tiga bulan lalu mengeluarkan hasil melalui program tuaian.
Sambil menundukkan badan, dua daripada tiga rakan kongsi itu menyauk ikan dalam sangkar dan ternyata hasilnya membanggakan.
Berbanding ikan air tawar, ternakan tiga sahabat terbabit lebih berkualiti kerana tiada bau hanyir.

Bau hanyir ikan terbabit disingkirkan selepas dikuarantin semalaman.
FotoIKAN tilapia merah dihasilkan tanpa bau hanyir.

Pemberian makanan ikan berbentuk pelet dan pengurusan sistematik menjadikan pembesaran ikan tilapia mengikut saiz dikehendaki pasaran.

Tilapia merah atau nama saintifiknya Oreochromis sp adalah spesies ikan air tawar berasal dari Afrika dan diperkenalkan di negara ini sekitar 1950-an.

Ikan terbabit mempunyai kadar pembesaran lebih cepat dan warnanya menarik.

Ikan tilapia merah bukan saja untuk membekalkan sumber protin, tapi turut digunakan untuk industri kosmetik.

Sisik tilapia sesuai untuk menghasilkan kolagen, manakala lendir bagi pembuatan kosmetik.

Spesies ikan air tawar organik ini mula mendapat perhatian penggemar ikan tempatan dan luar negara kerana khasiat tersendiri.

Sebagai contoh di Amerika Syarikat, ikan ini mendapat permintaan tinggi dan digelar ‘aquatik chicken’ kerana mempunyai nilai kesihatan berbanding ayam.

Kesukaran mendapatkan bekalan protin daripada ikan salmon menyebabkan penggemar ikan terbabit beralih arah kepada penggunaan ikan tilapia.

Biasanya ikan tilapia berkualiti mempunyai sifat agresif dan aktif termasuk pergerakan secara berkumpulan.

Enam bulan menimba ilmu termasuk mempelajari teori dan praktikal berkaitan penternakan ikan tilapia merah memberi impak kepada tiga graduan ini.

Wan Muhammad Fazdli Hussaini Wan Mohamad Yusoff, 25, Mohd Afiq Arif, 23 dan Mohd Nur As Shabah Mohamed, 24, boleh berbangga dengan usaha mereka apatah lagi dengan penubuhan Syarikat Gemilang Agribiz.

Melalui pinjaman Agrobank berjumlah RM20,000, mereka kini menuai hasil projek penternakan ikan tilapia merah.

Kesungguhan mereka mengusahakan projek itu terbukti menerusi Majlis Penuaian Ikan Talapia Program Inkubasi Usahawan Tani 2013 disempurnakan di Kolam 10, Taman Pertanian Universiti, UPM, Puchong.

Penyempurnaan tuaian kira-kira 10,000 ikan tilapia dilakukan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan. Turut hadir, Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof Dr Abdul Shukor Juraimi.

Pemenang ‘Best Student Enterprise Award 2012’ anjuran Kementerian Pengajian Tinggi itu menjadikan Kolam 10, Taman Pertanian Puchong UPM tapak penternakan ikan tilapia merah sejak Januari lalu.

Mohd Afiq yang juga pelajar tahun akhir Bacelor Sains (Perniagaantani) UPM berkata, minat menceburi bidang penternakan tilapia mendorong mereka menubuhkan Syarikat Gemilang Agribiz.

“Kami disatukan menerusi Program Inkubasi Usahawan Tani 2012.

“Sebelum terjun ke bidang ini pun kami melakukan kajian terhadap pasaran di Puchong dan Seri Kembangan dan peluang pasaran ikan tilapia merah amat besar,” katanya.

Pasaran tilapia merah mendapat permintaan tinggi pengusaha restoran makanan laut.

“Bekalan ikan yang ada tidak mencukupi untuk pasaran gred A, sedangkan kami hanya mampu mengeluarkan saiz ikan bergred B iaitu kira-kira 400 gram ke atas,” katanya.

Mohd Afiq mengakui projek penternakan diusahakan di kolam milik UPM itu hanya sekitar 14 sangkar dengan menempatkan 2,100 benih ikan.

“Bilangan itu ditingkatkan kepada 26 sangkar dan kini jumlahnya bertambah kepada 30 sangkar dengan 12,000 ikan talapia,” katanya.

Bagi meningkatkan kualiti, mereka turut menggunakan teknologi penghasilan gelombang dan roda pengayuh ciptaan penyelidik UPM untuk pengudaraan kolam.

“Ikan tilapia merah diberi makanan pelet saja.

“Makanan pembesaran ikan yang lengkap dan seimbang berasaskan soya, vitamin dan mineral diberikan kepada ternakan begitu penting berbanding penggunaan organ dalaman haiwan.

“Ikan tilapia merah diberi makan dua kali sehari,” katanya.

Sebelum melepaskan ikan tilapia ke dalam sangkar biasanya ia perlu dicampur dengan air kolam bagi memastikan ikan serasi.

“Program inkubasi ini mengajar peserta menternak ikan secara tersusun termasuk simpanan data dan rekod pemberian makanan setiap hari,” katanya.

Katanya, biawak dan memerang musuh utama kami kerana gemar memakan ikan tilapia merah.

“Justeru, kawasan kolam dipasang pagar elektrik bagi mengelak kedua-dua haiwan itu menghampiri kawasan ternakan,” katanya.

Katanya, harga ikan air tawar bagi talapia merah di pasaran sangat tinggi dengan harga ikan hidup mencecah RM30 sekilogram, manakala ikan segar RM8 sekilogram,” katanya.

Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak berminat menarik penyertaan syarikat itu mengusahakan projek penternakan ikan tilapia berskala besar.

Kini Program Inkubasi Usahawan Tani UPM 2013 melangkaui fasa kedua dan projek berkenaan menarik minat empat graduan untuk turut sama menternak ikan tilapia merah dalam tempoh berkursus selama enam bulan.

Mereka adalah, Fathin Hanani Abdul Jakit, 25; Mohd Firdaus Abdul Rahim, 26; Mohamad Khairi Ikzan Ibrahim, 22, dan Amir Hamzah Amir Nordin, 23.

Sementara itu, Dr Mohd Fauzi berkata, Program Inkubasi Usahawan Tani UPM yang dilaksanakan selama enam bulan menjadi salah satu agenda utama UPM dalam pelaksanaan program pembangunan usahawan dalam kalangan graduan IPTA.
Sumber: Harian Metro
Related Posts with Thumbnails