Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, May 15, 2019

Rezeki cili centil


Kuala Lumpur: Biarpun mengajar subjek seni visual namun Mohd Izranuddin Jelani mencipta kelainan apabila mampu menyelaras Projek Sekolah Lestari dalam bidang pertanian hingga mampu meraih pendapatan berjumlah RM11,000 hasil tanaman cili fertigasi.

Guru berkenaan mengetuai Skuad Lestari dianggotai lima guru dan 140 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah Hashim, Taman Daya, Johor Bahru yang mengusahakan projek pertanian terbabit yang dilaksanakan sejak Mei tahun lalu.
Mohd Izranuddin, 40, berkata, segalanya bermula apabila dia menanam lima pokok cili padi jenis centil di rumahnya di Taman Daya kira-kira tujuh tahun lalu.
“Orang tua saya suka makan pedas, tetapi apabila hendak beli di pasar, harganya mahal.
“Jadi, saya cuba menanam lima anak benih cili centil secara kaedah biasa pada 2011 di tepi rumah saja. Apabila hasilnya menjadi, saya mula semangat untuk mendalami ilmu pertanian,” katanya.
Menurutnya, niatnya dipermudahkan apabila takdir menemukan dia dengan seorang pengusaha syarikat pertanian terkenal di Johor dikenali sebagai Sheikh Noh ketika penganjuran satu program karnival pertanian.
“Saya banyak menimba ilmu daripadanya dan dibimbing mengenai selok belok pertanian termasuk kaedah fertigasi.
“Buat permulaan, saya menjalankan projek tanaman cili fertigasi sebanyak 140 anak pokok ketika mengajar di sekolah lama, SMK Taman Johor Jaya 2 dan hasilnya amat menggalakkan hingga nama saya dikenali dalam kalangan sekolah di sekitar Johor,” katanya.
Menurutnya, sebaik berpindah ke SMK Tun Fatimah Hashim pada April tahun lalu, dia turut membawa idea sama sebelum menubuhkan Projek Sekolah Lestari selepas mendapat kelulusan Pengetuanya Mahidah Kosnan.
“Memandangkan banyak kawasan lapang tidak digunakan, pengetua pada ketika itu menerima cadangan saya untuk menjalankan projek tanaman cili fertigasi dengan kapasiti 500 pokok.
“Akhirnya satu jawatankuasa dibentuk dinamakan Projek Sekolah Lestari dianggotai guru dan pelajar yang berminat mengusahakan pelbagai jenis tanaman dalam usaha menceria dan mencantikkan kawasan sekolah,” katanya.
Bekas wartawan sebuah akhbar tempatan itu berkata, projek terbabit bermula sejak 16 Mei tahun lalu dengan dana permulaan RM15,000 yang diperoleh hasil daripada kutipan guru, kakitangan dan individu.
“Setiap sumbangan dinilaikan dengan saham iaitu sepokok satu saham berharga RM30. Projek ini mendapat sokongan penuh warga sekolah yang berpendapat lebih elok tanah terbiar diusahakan untuk meningkatkan dana pembangunan sekolah.
“Projek tanaman ini diselia saya dengan bantuan ahli Skuad Lestari terlatih terdiri daripada guru dan pelajar yang melakukan penggiliran kerja seperti merumput, membaja, mencantas pokok dan menuai hasil.
“Setiap pelajar diberi token, contohnya RM3 untuk sekilogram cili yang dipetik, malah paling penting mereka seronok mempelajari banyak perkara baru mengenai pertanian,” katanya.
Menurutnya, hasil penanaman cili itu dijual kepada warga sekolah, ibu bapa, rakan sekolah berdekatan selain dihantar ke pasar di sekitar Johor Bahru pada harga lebih murah daripada pasaran.
“Paling membanggakan apabila kami berjaya meraih RM11,000 hasil daripada tanaman cili centil pada musim pertama, manakala pada musim kedua, sebanyak RM6,000 diraih biarpun baru dua bulan hasil dituai.
“Melihat kepada perkembangan positif itu, pada Ogos lalu, kami mula mengusahakan 1,000 bongkah cendawan tiram kelabu, serai, limau kasturi, durian belanda dan pisang tanduk masing-masing 100 pokok serta 20 jambu batu di sekitar kawasan lapang sekolah.
“Projek kedua ini turut mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang menyumbang dana pembelian benih,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan projek berkenaan menjadi contoh dan penanda aras bukan saja di Johor malah seluruh negara selain mendapat kunjungan pelbagai pihak.

Related Posts with Thumbnails