Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, July 20, 2023

Tuai terung berganda

 TERUNG boleh dituai berterusan sepanjang tempoh tanaman iaitu lima hingga enam bulan.

TERUNG boleh dituai berterusan sepanjang tempoh tanaman iaitu lima hingga enam bulan.

Penggunaan pelbagai saluran dalam pemasaran hasil produk pertanian boleh membantu meningkatkan pendapatan petani kerana tidak hanya fokus kepada satu sumber untuk mendapatkan pulangan.

Menurut Amir Azhar Othman, 53, dari Sungai Besar, Selangor yang mengusahakan terung ketika ini melihat pengeluaran tanaman itu di ladang seluas 3.24 hektar mampu memenuhi permintaan iaitu empat hingga 10 tan bagi pasaran sayur terbabit.

Kata Amir Azhar, tanaman terung di ladang itu mempunyai lebih 20,000 pokok bukan sekadar menampung permintaan pemborong untuk pasaran Lembah Klang semata-mata kerana ada sebahagian daripada hasil dijual di pasar tani atau kepada peniaga sekitar Sungai Besar.

"Pasaran utama kami ialah pemborong dari Kuala Lumpur yang memerlukan tidak kurang dari empat tan terung sebulan bagi menampung permintaan pasaran tempatan.

"Mengenai tanaman terung, istimewanya apabila dijalankan menerusi kaedah fertigasi, pengeluaran hasilnya jauh lebih baik berbanding kaedah konvensional iaitu pertumbuhan pokok singkat, sekali gus memberi pulangan hasil dua hingga tiga kali ganda.

"Apabila pokok terung mula mengeluarkan hasil pertama, ia berterusan mengeluarkan hasil sepanjang empat hingga lima bulan. Pemborong sayur boleh mendapatkan bekalan yang konsisten," katanya.

Katanya lagi, tanaman terung antara tanaman memberi pulangan menguntungkan kerana kurang berisiko, malah penghasilan yang tinggi untuk tempoh lima hingga enam bulan.

"Penanaman terung jauh lebih mudah berbanding cili ketika saya melakukan proses penggiliran untuk tanaman lain. Saya turut menanam sayur lain seperti cili, peria dan buah melon.

"Penjagaan tidak rumit dan formula baja yang khas, hasil terung pertama sudah boleh dituai dalam tempoh 45 hari dan setiap hari boleh dituai kerana terung terus mengeluarkan hasil sepanjang empat hingga enam bulan.

"Untuk harga ladang kepada pemborong ketika ini, terung boleh dijual antara RM2.50 sehingga RM4.50 mengikut turun naik permintaan.

"Saya menyasarkan setiap pokok mengeluarkan hasil 10 kilogram dengan pendapatan kira-kira RM100,000 bagi tempoh empat bulan," katanya.

Mengenai penjagaan, kaedah fertigasi jauh lebih mudah kerana baja terus disalurkan kepada pokok.

"Medium yang digunakan adalah cocopeat yang menyerap baja dan air dengan baik. Setiap petani ada formula tersendiri bagi meningkatkan tanaman mereka.

"Kalau musim hujan, ada kawalan segi pemberian baja dan disulam dengan air bagi memastikan tanaman mendapat keperluan mencukupi.

"Memastikan tiada serangan serangga perosak, racun digunakan. Teknik tanaman saya gunakan adalah sistem giliran memberi kelebihan kawalan lebih baik daripada risiko penyakit dan serangga perosak," katanya.

Tambah beliau ancaman kepada tanaman terung adalah lalat buah dan kutu trip.

TERUNG antara sayuran sentiasa mendapat permintaan pasaran.
TERUNG antara sayuran sentiasa mendapat permintaan pasaran.

"Ancaman bagi tanaman terung adalah kutu trip, lalat buah dan ulat pengorek batang. Tetapi, di ladang saya lalat buah dan kutu trip antara masalah utama.

"Terpaksa menggunakan racun bagi menghalang serangan serangga perosak. Racun digunakan juga boleh menghalang serangan penyakit," katanya.

Kata Amir Azhar lagi, beliau mengusahakan tanaman pada skala komersial bagi mendapat pulangan lebih baik.

"Ladang saya ini menyasarkan prospek tanaman komersial iaitu pengeluaran hasil dalam jumlah tan kepada pemborong lebih menguntungkan buat saya.

"Namun, risiko juga tinggi terutama dalam situasi tidak dijangka seperti banjir atau ketika pandemik.

"Saya menanggung kerugian kira-kira RM500,000 ketika itu kerana sayur dituai dari ladang tidak dapat dijual.

"Pasar borong tutup, kedai makan tidak beroperasi dan semua berkurung menyebabkan sayur yang saya keluarkan secara kontan 'tersadai.'

"Saya terpaksa agih secara percuma untuk penduduk sekitar Sungai Besar kerana hasil dari ladang mesti dikeluarkan," katanya.

Mengakui ramai petani terkesan ketika pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menutup ladang kerana kerugian dan tiada pusingan modal.

"Saya anggarkan kira-kira 60 peratus petani gulung tikar kerana tidak dapat menjual sayur mereka selain menanggung kerugian sehingga modal pusingan 'hangus' dalam tempoh Covid-19.

"Cabaran lain adalah harga input pertanian juga meresahkan petani. Selepas pandemik Covid-19, harga input pertanian meningkat dua hingga tiga kali ganda.

"Senario ini memberi kesan serius kepada pekebun kecil sementara pengusaha tanaman komersial juga menikmati keuntungan tipis hasil berbanding dahulu," katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/agro/2022/11/903046/tuai-terung-berganda

Related Posts with Thumbnails