Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, March 23, 2010

Ternakan Burung Puyuh Pedaging

Dalam setahun 2 ni didapati penternakan puyuh di area Semenanjung telah makin meningkat.Tetapi kebanyakannya buat secara semi komersil dan kecil-kecilan. Permintaan yang paling tinggi masa kini adalah puyuh pedaging. Ini kerana saiznya yang lebih besar dari puyuh penelur dan boleh mencecah lebih dari 200g perekor. Seorang sahabat saya baru sahaja buat trading puyuh daging ni telah memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan dan permintaannya meliputi area Semenanjung dan Sarawak. Di Sarawak permintaan puyuh pedaging amat tinggi berdasarkan kepada rekod sahabat saya ini.



Penternakan puyuh telah lama dipelihara oleh penternak puyuh tempatan. Hasil utama penternakan ini adalah telur puyuh yang telah sedia ada pasaran tersendiri dan terhad. Pengeluaran daging untuk dimakan adalah dari hasil sampingan penternakan puyuh penelur ini. Puyuh jantan yang tidak diperlukan untuk pengeluaran telur akan diproses dan dijual . Begitu juga puyuh-puyuh penelur yang tua akan diproses dan dijual sebagai daging puyuh. Bagi penternak khusus untuk pengeluaran daging puyuh didapati menggunakan puyuh jenis penelur. Walaupun demikian ada juga terdapat pemeliharaan dari jenis puyuh berbadan besar dari baka yang diimport. Penternakan puyuh masih ditahap kecilan kerana ramai yang menganggap penternakan ini susah untuk mencapai ketahap komersil. Kebanyakan penternakan puyuh mengamalkan cara penternakan yang tradisional. Pembekalan anak puyuh adalah sangat terhad. Punca anak puyuh adalah samada dari ladang sendiri atau dibeli dari penternak lain yang mempunyai penternakan puyuh baka.

Kebanyakan penternak puyuh tempatan menggunakan satu jenis puyuh untuk pengeluaran telur dan daging. Penternak baka induk puyuh menggunakan sistem pembiakan kaedah pusingan dimana anak menggantikan induk. Apabila stok induk telah tua dan perlu diganti maka penternak ini akan mengambil telur-telur dari stok ini untuk ditetaskan dan kemudian dijadikan stok induk. Cara penternakan ini telah berjalan dengan lamanya dan didapati hasil pengeluaran dan prestasi puyuh semakin merosot atau tiada perubahan.

Pengambilan daging puyuh masih ditahap yang rendah kerana pendedahan masyarakat keatas daging puyuh masih terhad. Langkah-langkah memperkenalkan komoditi ini kepada orang ramai sedang giat dijalankan dan dijangka pengambilan keatas daging puyuh ini akan meningkat.

Struktur Industri

Dari tinjauan yang dibuat didapati struktur penternakan puyuh ini sangat kompleks. Ada terdapat bebrapa kategori ladang yang terlibat dengan penternakan puyuh ini. Rajah 1 menunjukkan jenis pengusaha puyuh mengikut kategori di Malaysia. Ada pengusaha yang terlibat dengan pengeluaran anak untuk kegunaan daging dan telur. Terdapat pengusaha yang menternak puyuh dari jenis pedaging dan penelur. Walaupun demikian pengusaha puyuh pedaging adalah tertinggi dan merupakan 60% dari jumlah penternak. Penternakan yang mempunyai baka induk dan kemudahan penetasan adalah sebanyak 30 % dari jumlah penternak. Potensi industri puyuh ini masih cerah dan paling penting bagaimana kita menguruskan strategi pemasaran sendiri agar keuntungan dapat dinikmati.


P/s : Mereka yang berminat untuk mengusahakan ternakan puyuh ni kena buat strategi dan kaji dari aspek pemasaran . Jangan kerana tgk pendapatan lumayan terus buat tanpa mengkaji permintaan/pasaran semasa. akan terjadi lagi projek terbengkalai seperti serai, keli dll. Ingat kaji pasaran dan buat jaringan meluas. Berikan komen anda?

Sham_integrated
'Penternakan Integrasi satu perniagaan'


Friday, March 19, 2010

Tanam kelapa secara komersial

KUALA PILAH - Para usahawan di negeri ini disaran mengusahakan ladang kelapa secara komersial bagi memastikan permintaan terhadap komoditi itu dapat ditampung.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat menjelaskan, sehingga kini kebanyakan bekalan kelapa ke negeri ini diperoleh dari Selangor dan Indonesia.

"Apa yang dapat kita lihat setakat ini, hanya sebuah ladang kelapa diusahakan secara komersial di negeri ini iaitu di daerah ini, namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan tempatan.

"Kita berharap lebih ramai usahawan tani di daerah-daerah lain melaksanakan projek menanam kelapa berskala besar supaya kita tidak lagi perlu membawa masuk kelapa dari tempat lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melawat ladang kelapa pandan seluas 40 hektar milik Hasrat Rantau (M) Sdn. Bhd. di Kampung Terusan Seberang dekat sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim serta Pengarah Hasrat Rantau (M) Sdn. Bhd., Datuk Mohamad Ahmad.
Sumber:Utusan Malaysia
p/s: Potensi penanaman kelapa memang baik kerana harga kelapa tak pernah jatuh asyik naik aje.Sila berikan komen anda atau ada sesiapa yang telah melibatkan diri dengan projek tanaman kelapa.
Sham_integrated

Thursday, March 18, 2010

Mesin nanas tiga dalam satu

INDUSTRI desa di negara kini merupakan salah satu bidang yang berkembang pesat terutama dalam penghasilan kuih-kuih tradisional seperti baulu, maruko , dodol, kuih semperit dan sebagainya

Tetapi kadang-kadang disebabkan permintaan yang banyak mereka berhadapan dengan masalah kerana kekurangan peralatan dan mesin untuk menghasilkan produk pada skala besar.

Apabila fenomena ini terjadi maka penyelidikan dalam bidang reka bentuk mesin makanan menjadi semakin penting sebagai sokongan kepada industri tersebut.

Salah seorang penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rosnah Shamsudin, antara yang giat menjalankan penyelidikan menghasilkan mesin bagi membantu perkembangan industri desa itu.

Beliau sebelum ini menghasilkan mesin Coconut AutoSqueezer untuk memarut dan memerah kelapa bagi menghasilkan santan; mesin EZY untuk memasak jem dan pelbagai jenis sos dan mesin kuih bijan untuk menghasilkan kuih bijan atau kuih buah rotan.

Mesin lain termasuk mesin penggredan buah, mesin kiub nata de co co untuk membentuk kiub dan mesin penggredan buah.

Terbaru, Rosnah membangunkan mesin nanas tiga dalam satu untuk membuang kulit serta empulur, memotong nanas keping dan kiub.

Mesin itu mampu dimiliki dan sesuai untuk digunakan di rumah atau pengusaha dalam industri nanas.

Selain, ia dapat menjimat tenaga dan masa serta terjamin kebersihannya.

Mesin berkenaan diperbuat daripada besi tahan karat dan boleh beroperasi secara manual atau automatik dimana terpulang kepada pengusaha untuk memilihnya.

Rosnah yang juga pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan Fakulti Kejuruteraan, UPM berkata, beliau membangunkan mesin berkenaan bagi memudahkan kerja-kerja membuang kulit nanas.

Beliau berkata, kerja-kerja berkenaan merumitkan dan maklumat yang diperoleh daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) mendapati bahawa hampir keseluruhan usahawan yang berkaitan dengan nanas seperti pengusaha jem, kuih-muih, nanas tin dan sebagainya masih memproses nanas secara manual.

"Dengan adanya mesin ini diharapkan dapat membantu mempercepatkan pemprosesan nanas.

''Selain itu, ia dapat menjimatkan tenaga dan masa serta terjamin kebersihannya,'' katanya yang dibantu Siti Zaharah Mustapa dari fakulti yang sama.

Beliau berkata, penyelidikan mesin itu yang dijalankan sejak tahun 2008 dan siap setahun kemudian. Patennya telah difailkan di Malaysia pada 13 November 2009 dengan dibiayai oleh UPM.

Menjelaskan lebih lanjut, Rosnah berkata, cara menggunakan mesin tersebut mudah iaitu buah nanas yang telah dipotong bahagian atas dan bawah, diletakkan di tengah mesin pengupas.

Tekan pemegang alat pengupas ke bawah dan mata pisau akan memotong kulit nanas dan empulurnya.

Pemegang ditolak ke atas dan terhasillah buah nanas tanpa empulur.

Jika hendak dipotong kepingan pula, buah nanas tanpa empulur diletakkan di bahagian pemotong nanas kepingan. Ketebalan setiap kepingan nanas adalah 23 milimeter (mm).

Bagi pemotong nanas kiub , kepingan isi nanas disusun ke dalam rod. Kemudian tekan pemegang ke bawah dan mata pisau akan memotong isi nanas menjadi kiub.

Meskipun teknologi berkenaan masih di peringkat pra-pengkomersilan dan dibangunkan hasil usahanya bersama pembantu, ia turut mendapat khidmat nasihat daripada MPIB.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Abu Bakar Salleh berkata, walaupun teknologi mesin itu masih di peringkat pra-pengkomersilan, UPM mengalu-alukan pihak yang berminat untuk mengkomersialkannya.

''Jika mesin ini dikomersialkan, saya yakin ia mampu membantu industri nanas negara selain menjimatkan kos buruh untuk mengupas buah nanas," katanya.

Mereka yang sesuai menggunakan mesin berkenaan ialah penjual buah nanas, pengusaha nanas tin, pengusaha yang berkaitan dengan buah nanas seperti usahawan kuih-muih seperti tart, sos, halwa, jem, jus, kosmetik nanas dan sebagainya,

Harganya akan diketahui jika mendapat ketetapan harga yang ditetapkan syarikat pengkomersialan.

Sumber:Utusan Malaysia


Tuesday, March 9, 2010

Pusat ikan hiasan marin 90 peratus siap

SEREMBAN 7 Mac - Projek pembinaan pusat ikan hiasan marin yang bakal menjadi tarikan pelancong dan pengunjung di pantai peranginan Port Dickson dekat sini, sudah 90 peratus disiapkan.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, projek berkenaan yang menelan belanja RM4.5 juta dijangka dibuka kepada umum mulai Mei depan.

''Projek itu hampir selesai dan kini kerja-kerja memasang akuarium dan perkakas berkaitan sedang giat dijalankan.

''Infrastruktur bangunan sudah siap dibina sejak penghujung tahun lalu, tetapi perkakas seperti akuarium termasuk kolam untuk tujuan menternak dan menghasilkan benih ikan baru mula dipasang bulan ini dan akan siap sepenuhnya pada bulan April," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pembukaan dan upacara perasmian pusat tarikan 'agro-tourism' itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, menerusi pembukaan pusat itu, orang ramai termasuk pelancong asing berpeluang mendekati pelbagai jenis spesies ikan serta hidupan akuatik marin dari dalam dan luar negara.

''Pusat ini akan memaparkan kira-kira 50 spesies ikan hiasan marin dari dalam negara ini dan 100 spesies ikan dari luar negara.

''Selain itu, pusat itu juga akan mempamerkan kuda laut, tapak sulaiman, terumbu karang dan banyak lagi spesies hidupan laut yang terdiri daripada pelbagai jenis," ujarnya.

Jelasnya, pada masa yang sama, pusat tersebut juga akan berperanan untuk memulihara hidupan laut yang semakin diancam kepupusan.

''Pakar dari luar negara juga akan bersama-sama kita untuk menjalankan kajian dalam usaha membantu memastikan batu karang serta hidupan laut tidak terus terpupus," katanya.
Sumber:Utusan Malaysia

Thursday, March 4, 2010

Otosil MARDI hasilkan makanan ternakan


Otosil memenangi Anugerah Inovasi Negara 2009 bagi kategori Industri.


Selain penyakit, antara masalah utama dalam industri penternakan haiwan ruminan ialah makanan.

Ini kerana, peningkatan harga makanan haiwan amat membebankan pengusaha memandangkan bahan mentahnya diimport.

Sehubungan itu, sumber makanan haiwan perlu dipelbagaikan supaya industri ternakan ruminan tempatan tidak terlalu bergantung kepada produk import.

Antara sumber tempatan yang boleh dijadikan makanan alternatif atau sekurang-kurangnya sebagai tambahan yang sedia ada ialah daun atau pelepah kelapa sawit.

Penggunaan produk mentah lain seperti jerami melibatkan 1.2 juta tan, jagung 750 tan setahun sedangkan sumber sawit boleh diperoleh daripada empat juta hektar tanaman tersebut di negara ini.

Penggunaan pelet daripada daun sawit pula melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan kilang untuk menghasilkan makanan tersebut.

Ketika ini, ramai pengusaha atau penternak haiwan ternakan ruminan menggunakan daun sawit atau rumput Napier sebagai bahan makanan mentah daripada sumber domestik untuk menghasilkan silaj.

Silaj merupakan bahan makanan ternakan ruminan yang dihasilkan menerusi proses fermentasi anerobik ke atas bahan foder atau sisa pertanian.

Rumput atau daun sawit perlu diracik atau dipotong terlebih dahulu sebelum diperam dipijak dalam tong bersama mikrob tertentu.

Kaedah tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai, memakan masa serta kualiti yang rendah.

Sehubungan itu, bagi membantu pengeluaran silaj makanan tersebut, seorang penyelidik Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Ghazali Hussin berjaya membangunkan mesin berteknologi tinggi dinamakan Otosil yang kos efektif.

Menurut Ghazali, Otosil ialah mesin pengeluar silaj yang mampu memproses silaj dari bahan foder seperti rumput, sekoi dan sebagainya dan juga bahan sisa pertanian seperti batang jagung, jerami padi dan pelepah kelapa sawit dengan cekap.

Otosil merupakan mesin yang mempunyai keistimewaan antaranya pengeluaran silaj lebih lebih cekap berbanding dengan kaedah manual.

"Dengan kaedah manual, bahan tanaman yang ingin diproses terpaksa dimasukkan ke dalam tong dan dipadatkan secara manual.

"Oleh yang demikian, pengeluaran silaj dengan menggunakan Otosil boleh menjimatkan masa dan kos.

"Otosil merupakan mesin pengeluaran silaj yang pertama dicipta di Malaysia dan juga di dunia yang berasaskan penggunaan tong plastik,'' kata beliau.

Mesin tersebut katanya, boleh digunakan sama ada di kilang atau di ladang.

Ia boleh beroperasi dengan menggunakan kuasa elektrik atau kuasa enjin dan boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah kerana ia dilengkapi roda.

Mesin Otosil mampu menjana sumber pendapatan baru kepada usahawan. pertanian.

Menurut Ghazali, Malaysia kaya dengan sumber sisa pertanian yang selama ini tidak digunakan. Dengan Otosil, sisa pertanian itu boleh diproses kepada silaj untuk makanan ternakan.

Justeru mesin berkenaan secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dimana sebelum ini bahan sisa pertanian seperti batang jagung dan jerami padi dibakar selepas hasilnya dituai.

Beliau menjelaskan, masalah utama yang dihadapi oleh industri ternakan negara ialah kekurangan makanan.

Oleh itu negara masih mengimport bahan mentah untuk makanan ternakan seperti jagung dan soya.

Pada tahun ini disasarkan pengeluaran daging negara sekitar 28 peratus daripada keperluan negara.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai banyak sumber terbuang yang sangat berpotensi untuk digunakan sebagai makanan ternakan.

Katanya,, teknologi yang ada tidak cekap untuk menghasilkan silaj yang bermutu bagi memenuhi keperluan industri ternakan.

"Atas alasan ini maka saya berfikir untuk mencipta sebuah mesin yang mampu menghasilkan silaj dengan cekap dan akhirnya Otosil dicipta," jelasnya.

Beliau berkata, Otosil kini diberi lesen oleh MARDI kepada Choon Heng Engineering and Co. untuk dikeluarkan secara komersial.

Ia dibina dari bahan besi tahan karat dan di bahagian tertentu dibina daripada keluli tahan karat bagi mencegah karat.

Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan alat penyuntik atau penyembur bahan aditif serta inokulan bakteria.

Penyelidikan untuk membangunkan teknologi ini bermula pada tahun 2005 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20,000.

Harga mesin ini ialah RM32,835 yang menggunakan kuasa elektrik manakala mesin yang menggunakan kuasa enjin, harganya melebihi RM38,000.

Bagi pengusaha ternakan atau bakal usahawan yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan silaj, Otosil boleh ditempah.

Beliau menyasarkan pengguna Otosil kepada penternak komersial, sama ada penternak kambing atau lembu yang mempunyai ternakan yang melebehi 50 ekor.

Selain penternak, Otosil juga boleh digunakan oleh usahawan iaitu khusus untuk menghasilkan silaj untuk dijual kepada penternak.

Perusahaan ini boleh dijalankan di kawasan pengeluaran jagung utama serta kawasan perladangan kelapa sawit dalam negara supaya bahan mentah senang diperolehi.

Selain dari kawasan pengeluaran jagung, kawasan pengeluaran padi utama negara seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perak adalah kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan industri ini.

Katanya, teknologi Otosil tidak akan berakhir di sini, sebaliknya akan mengembangkan teknologi tersebut pada masa akan datang.

"Saya mempunyai perancangan yang lebih jauh bagi menjayakan industri ternakan negara.

"Teknologi Otosil akan diberi tambah nilai dari semasa kesemasa supaya ia dapat memenuhi kehendaki semua peringkat penternak dan usahawan ternakan di Malaysia.

"Saya berhasrat supaya Otosil digunakan bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara lain pada masa akan datang,'' katanya.

Kejayaan beliau menghasilkan Otosil bukanlah yang pertama dalam kerjayanya sebagai penyelidik.

Pada tahun 2000, Ghazali berjaya mencipta mesin pemampat silaj iaitu Silager. Silager adalah mesin silaj pertama yang dihasilkan beliau tetapi ia tidak mempunyai alat pemotong serta penyembur inokulan.

Di samping itu, Ghazali juga telah berjaya menghasilkan rumput pastura mutan iaitu Brachiaria decumbens atau dikenali sebagai Kluang Comel dengan kaedah mutagenesis.

Rumput mutan ini telah diisytiharkan pada tahun 2003 sempena Hari Flora di Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (kini Agensi Nuklear Malaysia).

Mereka yang berminat dengan mesin Otosil boleh menghubungi beliau di 019-7544226 atau silagergbh@yahoo.co.uk / gbh@mardi.gov.my

Sumber:Utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails