Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, June 26, 2012

Teknologi hidroponik hasilkan rumput ternakan

Oleh SAHBULLAH MOHD. DARWI 

dan NORDIANA AZIS
Teknik fodder sollution berjaya menghasilkan rumput ternakan dalam tempoh yang singkat.




DALAM industri ternakan, beban utama pengusaha dalam kos operasi selain gaji pekerja ialah sumber makanan. Kos makanan seringkali menjadi rungutan kepada mereka.


Masakan tidak, peningkatan harga makanan ternakan saban tahun menjadi satu beban dan kadangkala penternak terpaksa gulung tikar kerana masalah tersebut.


Sebab itu, selain masalah kekurangan baka bermutu yang cuba ditangani menerusi kacukan dan juga masalah penyakit, ramai penyelidik mencari jalan bagaimana menghasilkan makanan alternatif menerusi kajian mereka.


Satu daripada usaha tersebut ialah menanam rumput yang dikenali sebagai rumput barli atau sprout barli.


Rumput barli merupakan sumber makanan ternakan terkini yang dihasilkan melalui kaedah fodder solution (FS) iaitu teknik penanaman secara hidroponik dalam sistem yang terkawal dari segi suhu, air, pencahayaan dan boleh dikeluarkan sepanjang tahun.


Selain mempunyai kadar protein dan tenaga yang tinggi, ia juga mempunyai kandungan vitamin, garam galian dan enzim untuk ternakan ruminan seperti lembu, kambing, biri-biri dan lain-lain.


Dengan isu kenaikan harga bahan makanan ternakan dan tenaga buruh yang semakin dirasai ketika ini, kaedah FS amat relevan kerana mampu menyelesaikan masalah tersebut.


Ini kerana ia berkemampuan menghasilkan rumput dengan kos lebih murah selain lebih selamat dan bersih kerana penanamannya tanpa baja, racun serangga dan bebas habuk.


Malah, dengan ruang yang kecil iaitu sebesar sebuah kontena, penternak sudah boleh menghasilkan rumput tersebut dalam tempoh enam hari sahaja bagi kegunaan sepanjang tahun tanpa masalah kualiti tanah, penyakit, isu keluasan tanah, cuaca atau banjir.


Di negara ini, kaedah FS masih baru apabila ia diketengahkan oleh syarikat MTG Agritrade. Kini penggunaannya dipelopori oleh syarikat ternakan, Kandang Fidlot Cahaya (KFC) yang dimiliki oleh Koperasi Alumni Bestari UM (M) Berhad.


Pengurus projek itu, Yuhanif Mohd. Salleh berkata, ladang ternakan kambing dan lembu yang terletak di Pekan Tunjang, Jitra, Kedah dengan keluasan dua hektar telah menggunakan FS sejak tiga bulan lepas.


Sejak ternakannya diberikan makanan barli yang dihasilkan FS, katanya, berat haiwan-haiwan itu menunjukkan peningkatan menakjubkan.


''Misalnya seekor lembu dapat ditambah berat sekitar 1.3 hingga 1.5 kilogram sehari manakala seekor kambing naik 200 gram sehari," katanya sambil menambah ketika ini ladangnya mempunyai 207 ekor kambing pelbagai jenis dan 15 ekor lembu.


Sementara itu, ahli lembaga koperasi itu, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, FS adalah satu resolusi dan inovasi yang cukup penting untuk mengatasi krisis harga makanan ternakan.


Ini kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas untuk menanam rumput, mudah diuruskan dan kos juga jauh lebih murah berbanding membeli makanan ternakan seperti dedak dan rumput napier.


"Di sini tidak perlu pakai rumput napier atau dedak. FS terbukti boleh menjimatkan kos makanan ternakan sebanyak 30 peratus tetapi mempunyai nutrisi yang tinggi untuk ternakan," jelasnya.


Bagi seorang lagi ahli lembaga koperasi itu, Nordin Mat, kaedah FS dapat mengurangkan pergantungan kepada jumlah pekerja yang ramai, lebih organik dan mengurangkan kos ubat-ubatan untuk ternakan kerana haiwan-haiwan diberi makanan berkualiti dan sihat.


"Disebabkan teknologi ini masih baru di negara ini maka Koperasi Alumni Bestari kami turut menyediakan pakej memulakan ladang ternakan untuk memperkenalkan penggunaan teknologi FS kepada penternak," katanya.


Menurut beliau, syarikatnya bukan sahaja menternak lembu dan kambing tetapi juga menjual ternakan tersebut untuk tujuan akikah dan korban.


Justeru, beliau berkata, orang ramai yang berminat untuk menggunakan kaedah yang sama dipakai oleh Kandang Fidlot Cahaya boleh menghubunginya di 012-3791239 atau Yuhanif di 0192784074 untuk maklumat lanjut.


Dalam pada itu kajian menunjukkan ternakan ruminan seperti lembu, kambing, biri-biri dan lain-lain merupakan penyumbang kepada lebih 18 peratus pengeluaran gas CH4 (metana) di dunia melalui proses ruminasi.


Dengan rumput barli, proses penghadaman menjadi lebih cepat dan ia dapat mengurangkan pengeluaran gas tersebut untuk menjadikan dunia lebih selamat untuk didiami.
Sumber:utusan malaysia

Monday, June 4, 2012

Penghasilan benih kerapu berkualiti


Telur ikan yang telah disenyawakan diletakkan dalam sebuah tangki khas.
TEKNOLOGI hibrid sebenarnya telah lama kita ketahui malah ramai di kalangan masyarakat awam turut menyokong penyelidikan dan pengembangan dalam teknologi ini.
Bermula daripada produk pertanian seperti padi hibrid sehingga kepada kenderaan yang juga dilengkapi teknologi tersebut.
Kini, produk akuakultur juga tidak ketinggalan melalui proses teknologi hibrid.
Terbaru adalah penghasilan kerapu hibrid hasil kacukan induk kerapu harimau (epinephelus fuscoguttatus) dan kerapu kertang (epinephelus lanceolatus).
Kerapu harimau, kerapu kertang dan kerapu hibrid hasil kacukan kedua-dua spesies tersebut merupakan antara yang paling banyak di ternak di Malaysia.
Ia berikutan faktor harganya yang mahal di samping memenuhi kriteria pemilihan spesies untuk akuakultur seperti tahan lasak, tahan penyakit dan benih yang mudah diperolehi.

Saturday, May 12, 2012

Nilai hasilan sarang burung





INDUSTRI sarang burung walet semakin mendapat tempat di negara ini. Potensi untuk diperluas dan diperkembangkan sangat besar.

Di peringkat global, industri berkenaan mempunyai pasaran sehingga RM10.2 bilion. Malaysia pula ketika ini menyumbang RM1.5 bilion setahun kepada perusahaan itu.

Jumlah itu melibatkan pengeluaran sarang burung walet mentah yang belum diproses dengan anggaran kos sekitar RM4,000 sekilogram (kg) dan boleh mencecah harga RM9,000 untuk setiap kg yang telah dicuci.

Melihat kelebihan itu, kini terdapat banyak syarikat tempatan mula terlibat dalam aktiviti penghasilan sarang burung dan tidak kurang juga bidang pengeluaran untuk produk hilirannya.

Ini kerana, berdasarkan kepada harganya di pasaran, nilai sarang burung walet boleh diibaratkan seperti emas.

Salah sebuah syarikat tempatan yang aktif dalam industri hiliran sarang burung walet ialah Alga Prima Sdn. Bhd. (Alga Prima) yang memberi fokus kepada aktiviti mengilang dan membekal pelbagai produk minuman berasaskan sarang burung.

Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Nazari Ahmad, Alga Prima bermula dengan pengeluaran produk minuman popular di kalangan orang Cina iaitu teh Oolong.

“Sehingga pada tahun 2009, hasil kajian dan penyelidikan makmal kami mendapati ramuan teh Oolong bersama sarang burung dapat menghasilkan minuman kesihatan yang kaya dengan antioksida.

“Selain teh, Alga Prima turut mengeluarkan minuman sarang burung dalam bentuk produk sedia diminum, pati dan kordial dengan formula campuran kolagen, ginseng dan herba-herba terpilih,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.

Minuman-minuman tersebut dihasilkan melalui proses yang bersih dan halal mengikut syarat-syarat oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) bermula daripada pengeluaran bahan mentah sehingga pembungkusan, penyimpanan dan penghantaran.

Kesemua 20 kakitangan Alga Prima juga terdiri daripada mereka yang beragama Islam bagi memastikan pengguna dapat menikmati khasiat serta kebaikan minuman tersebut tanpa sebarang halangan atau keraguan.

Apa yang paling penting, proses mencuci sarang burung di syarikat itu tidak melibatkan sebarang penggunaan alkohol. Tumpuan utama diberikan terhadap penghasilan produk yang baik untuk kesihatan dan kecantikan.

Alga Prima turut membina pusat mencuci sarang burung mentah di Kulim dan Shah Alam. Kilang pembuatan produk juga terletak di Kulim, Kedah.

Ketika ini, syarikat berkenaan mampu mengeluarkan 50,000 botol minuman sarang burung sebulan selain produk sarang burung kering yang telah dicuci turut mendapat permintaan tinggi.

Untuk bahan mentah, Alga Prima banyak menjalankan kerjasama dengan pengusaha-pengusaha rumah sarang burung dari beberapa buah negeri seperi Kedah,

Perlis, Selangor dan Terengganu.

“Sebenarnya, setiap rumah sarang burung mampu mengeluarkan antara dua hingga tiga kilogram sahaja sarang burung sebulan,’’ jelasnya.

Daripada sudut pasaran, Alga Prima menerima permintaan yang cukup menggalakkan dari seluruh negara selain produk mereka telah memasuki ruang niaga pasar raya besar.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga ada menerima tempahan daripada pemborong di Brunei, Singapura, China dan Dubai di samping menyedia kemudahan pembuatan untuk syarikat-syarikat luar yang berminat menjual produk berkenaan menggunakan penjenamaan sendiri.

“Tidak dinafikan memang terdapat banyak saingan dalam perniagaan produk minuman kesihatan sarang burung ini.

“Namun, pengguna perlu merasai dan menilai sendiri produk Alga Prima. Banyak pengguna yang telah mencuba memberi respons positif terhadap rasa serta khasiatnya,’’ jelasnya.

Justeru, bagi memantapkan kedudukan perniagaan mereka, Alga Prima tidak ketinggalan menyertai beberapa siri pameran bergerak seperti Festival Halal, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Di samping itu, mereka turut menjalankan kolaborasi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta sirim bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan.

Isu kandungan nitrit jejas industri EBN


Noh Omar melihat sarang burung yang dikumpulkan di Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik Malaysia yang pertama di Puchong, Selangor baru-baru ini. JIKA dahulu industri sarang burung walet atau lebih dikenali sebagai EBN (Edible Bird Nest) melonjak naik akibat permintaan yang tinggi daripada negara pengimport utamanya iaitu China, kini industri tersebut diancam isu kandungan nitrit (NO2) yang berlebihan.

Berikutan itu, pihak kerajaan China telah mengehadkan pengambilan EBN dari Malaysia. Malah stok yang telah berada di negara tersebut juga telah dibekukan menjadikan harganya kini merudum teruk.

Kerajaan China mendakwa EBN yang dibekalkan oleh Malaysia mengandungi kandungan nitrit yang berlebihan di mana boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Isu tersebut telah dipanjangkan sehingga kerajaan China menuntut sekiranya Malaysia ingin terus menjual EBN ke negaranya maka kandungan bahan kimia tersebut perlu di kurangkan, malah sehingga sifar.

Permintaan tersebut dilihat adalah agak mustahil berikutan kandungan nitrit sememangnya sedia ada dalam mana-mana tumbuhan organik, air dan pelbagai lagi.

Di samping itu, hanya EBN yang diimport dari Malaysia sahaja yang paling ketat dikenakan tindakan tersebut.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Saleha Abdul Aziz, nitrat atau nitrit adalah bahan kimia yang terdiri daripada kandungan oksigen dan nitrogen serta gabungan pelbagai sebatian organik dan bukan organik.

Jelas beliau, kandungan nitrit boleh ditemui di sekitar kita seperti air dan tumbuhan hijau yang mana boleh menghasilkan endogenously (kandungan yang terdapat dalam organisma atau sel).

"Malah nitrit juga kadang kala digunakan dalam produk makanan lain seperti penghasilan keju dan bahan berasaskan keju, daging mentah mahupun yang diproses dan pelbagai lagi.

"Ia juga digunakan dalam pelbagai produk makanan bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria clostridium botulinum dan juga sebagai bahan pengawet dalam industri daging," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Isu Nitrat dalam EBN sempena Seminar Transformasi Industri Sarang Burung Malaysia: Mendepani Cabaran Piawaian Baharu anjuran Institut Teknologi Makanan (MIFT) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, kandungan nitrit tersebut jika diambil oleh manusia secara berlebihan ia mampu membantu mempercepatkan pertumbuhan sel kanser dan tumor di dalam badan terutamanya bagi orang dewasa dan mampu menyebabkan penyakit leukemia kepada kanak-kanak.

Justeru, kehadiran kandungan nitrit di dalam EBN bukan sesuatu yang baru dan ia boleh dikurangkan.

Jelas Dr. Saleha, kandungan nitrit boleh dikurangkan dengan cara membilas EBN menggunakan air biasa secara kerap.

Malah, proses pemanasan juga dapat mengurangkan kandungan nitrit dan semakin tinggi suhu digunakan maka semakin banyak nitrit dapat dikurangkan.

Bagaimana pun kandungan nitrit juga boleh berubah-ubah antaranya keadaan bahan mentah (EBN), selepas proses pembersihan dan produk akhir (sup sarang yang ditinkan).

Kandungan nitrit juga boleh bertambah dalam EBN melalui air yang digunakan semasa proses pembersihan serta beberapa faktor lain.

Justeru isu kandungan nitrit di dalam EBN bukanlah merupakan satu isu yang sepatutnya diketengahkan sehingga menyebabkan industri pengeluaran EBN negara terjejas dengan agak teruk.

Malah terdapat kajian yang menunjukkan terdapat beberapa produk makanan di China juga dikenal pasti mengandungi kandungan nitrit yang agak tinggi.

Ia seperti sayuran jeruk sebanyak 20 miligram setiap kilogram (mg/kg), susu segar 0.4 mg/kg malah tidak ketinggalan air mineral sebanyak 01 mg/kg.

Justeru kandungan nitrit bukan sahaja terdapat didalam EBN malah mana-mana makanan dan air yang digunakan oleh manusia, apa yang jelas isu tersebut hanya diperbesarkan.
sumber :utusan malaysia

Teh daripada daun sawit



Sebelum menghasilkan teh, UPM juga pernah mengkomersialkan daun kelapa sawit sebagai kordial dan biskut.TERFIKIRKAH anda daun kelapa sawit yang selama ini kelihatan tidak bernilai sebenarnya mampu menjadi bahan antioksida yang terbaik.

Daun kelapa sawit sebenarnya baik untuk meredakan penyakit kardiovaskular (pernafasan) dan mampu membantu menurunkan kadar kolestrol dan gula dalam tubuh seseorang.

Penemuan tersebut agak mengejutkan kerana selama ini daun kelapa sawit merupakan bahan buangan pertanian yang sering ditafsirkan tidak memiliki kegunaan selain dijadikan makanan ternakan.Menurut penyelidik dari Fakulti Sains Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Suhaila Mohammed, kajian bagi mencari alternatif bahan antioksida kepada hampir 150 jenis tumbuhan akhirnya membawa mereka kepada daun kelapa sawit.

“Dalam kajian yang saya jalankan mendapati, kandungan antioksida yang dalam daun kelapa sawit mampu menurunkan kadar darah tinggi dalam haiwan yang diuji.“Biar pun manusia tidak makan daun ini, namun ia telah lama dijadikan makanan kepada haiwan ternakan," ujarnya ketika ditemui di UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Katanya, bahan yang terdapat dalam daun kelapa sawit bukanlah agen yang terbaik namun ia memiliki potensi untuk dikomersialkan.Hal demikian kerana daun kelapa sawit mudah diperolehi selain kos pemprosesannya juga jauh lebih murah dan mudah.Selain mampu bertindak sebagai agen antioksida, bahan yang terdapat di dalam daun kelapa sawit juga memiliki kandungan estrogen yang baik.

Kebiasaannya bagi wanita yang baru bersalin daya ingatan mereka akan menjadi lemah berikutan semasa mengandung hormon tersebut berkurangan.

Justeru, kehadiran hormon phytoestrogen dalam daun kelapa sawit mampu meningkatkan hormon estrogen dalam tubuh badan seseorang seterusnya menstabilkannya.Ujarnya, bahan yang terdapat dalam daun kelapa sawit tersebut juga mampu menguatkan struktur tulang.

Ujian yang dilakukan ke atas tisu haiwan juga mendapati bahan yang terdapat di dalam daun kelapa sawit mampu memelihara tisu organ selain mempercepatkan proses pemulihan tisu.

Di kenali sebagai Phytoquest, UPM bersama sebuah syarikat swasta telah mengeluarkan dua produk berasaskan daun kelapa sawit tersebut.Pertama berbentuk uncang teh dan kedua dalam bentuk kapsul.Bagaimanapun, kedua-dua produk itu mampu memberikan kesan yang sama cuma berbeza dari segi cara pengambilannya.
Sumber:utusan malaysia
Related Posts with Thumbnails