Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, July 30, 2008

Pusat kambing RM10 juta dirancang

KUALA LUMPUR 29 Julai - Sebuah pusat penyelidikan dan teknologi kambing bernilai RM10 juta dirancang dibina di Serating, Marang, menerusi inisiatif perladangan ternakan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pusat penyelidikan itu, Taman Teknologi Kaprima Bestari, akan dibangunkan di kawasan 10 hektar dalam kawasan Taman Pengeluaran Makanan Kekal, kata Sekretariat ECER dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Langkah itu bertujuan mencapai sara diri bekalan daging kambing memandangkan negara memerlukan 10 juta kambing setahun.

Malaysia kini mengimport kambing, kebanyakannya dari Australia.

Taman teknologi kambing, yang akan dibangunkan dan diurus oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu (JPHT), akan mengumpul maklumat dan menjalankan penyelidikan mengenai pembiakan kambing selain memodenkan industri penternakan kambing negara, dengan ECER sebagai hab utama, katanya.

"Taman Teknologi itu disasarkan menjadi pusat penyelidikan dan maklumat untuk penternak kambing, terutama di Asia," kata Pengarah JPHT Dr Azizol Mohd Sharun.

"Kami akan memperkenalkan teknologi dan teknik terbaru dari luar negara.

Teknologi baru itu akan membantu penternak meminimumkan kos pengeluaran selain mendapat pulangan yang lebih baik.

Sementara itu, para penternak dan mereka yang berminat terhadap industri berkenaan, boleh mengikuti kurus penternakan kambing, katanya.

"Kami menjangkakan taman kambing itu akan menawarkan prospek ekonomi yang lebih baik dan peluang pekerjaan kepada usahawan dan graduan tempatan dalam bidang kajian yang berkaitan." Taman teknologi kambing itu akan dilengkapi rumah ladang, pusat penyembelihan mini, kilang pemprosesan baja, restoran, dewan pameran pengeluaran, masjid, dan asrama pekerja.

Selain aktiviti penyelidikan dan penternakan kambing, taman itu juga bersedia menerima pelancong serta mesra kanak-kanak, di mana mereka membolehkan memegang dan memberi kambing makan.

Terengganu menyasarkan lebih 3.5 juta pelancong ke negeri itu tahun ini.

Kebanyakan destinasi pelancongannya disasar untuk pencinta alam semula jadi dan taman kambing ini dijangka turut mendapat perhatian pelancong.

Penggunaan perkapita negara bagi daging kambing meningkat daripada 0.67kg pada 2006 kepada 0.74kg pada 2007.

Malaysia secara tradisinya merupakan pasaran eksport terbesar Australia, mengimport kira-kira 15,000 tan daging kambing dan 50,000 ekor kambing.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ECER disasar menambah aktiviti penternakan kambing sebanyak tujuh peratus dalam tempoh lima tahun bagi memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa yang semakin meningkat.

Ia akan memberi tumpuan terhadap kambing yang menghasilkan daging yang tinggi bagi menggantikan ternakan tempatan.

Bagi mencapai matlamat 35 peratus sara diri dalam pengeluaran kambing menjelang 2015, ia memerlukan 18,000 ekor kambing tambahan.

Sasarannya ialah ECER menghasilkan 2,020 tan metrik pada 2020, katanya.

Penternakan kambing di Malaysia melibatkan 75 peratus penternakan tradisional manakala 15 peratus diusahakan separuh komersial dan 10 peratus lagi membabitkan ladang komesial.

(di petik dari Utusan Online )

Related Posts with Thumbnails