Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, June 30, 2009

Afandi ingin jadi pengusaha keli terbesar


Mohd. Afandi Mahamad menunjukkan seekor induk ikan keli yang digunakan untuk mendapatkan telur sebelum proses pembenihan dilakukan di Cherang Ruku , Semerak, Pasir Puteh, baru-baru ini. - utusan / Hapizah Aziz

---------------------------------------------------------------
PASIR PUTEH 29 Jun - Ketika bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi, Mohd. Afandi Mahamad, 45, dari Cherang Ruku di sini sentiasa mengeluh kerana pendapatan dirasakan tidak mampu menampung keperluan keluarga yang kian membesar.

Bapanya pula sentiasa mengingatkan corak kehidupan keluarganya hanya terikat dengan jumlah pendapatan tetap yang diterima setiap bulan, begitu juga rutin hariannya terbatas kerana tuntutan kerja .

"Bagi ayah, dia lebih gembira kalau anak-anaknya berdikari, menjalankan perniagaan sendiri kerana pendapatan tiada hadnya asalkan gigih berusaha, tetapi pada awalnya saya tidak begitu ambil peduli.

"Ayah hanya petani kecil dan ketika itu tiada di kalangan enam anaknya yang menunjukkan minat melibatkan diri dalam apa jua jenis perniagaan walaupun dia sering menggalakkan kami," kata bapa kepada enam orang anak itu.

Mohd. Afandi yang ditemui Utusan Malaysia di pusat penetasan ikan air tawar dan hiasan miliknya di sini, baru-baru ini menceritakan, akhirnya dia nekad berhenti kerja pada tahun 2004 dan melaburkan RM20,000 wang simpanan.

Tujuannya ialah bagi mengusahakan projek pembenihan keli termasuk menyiapkan telaga, kolam serta tangki yang diperlukan.

Namun semasa masih bekerja, dia melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran dengan menyertai kursus di Kancanaburi, Thailand dan kursus anjuran Jabatan Perikanan Kelantan.

Sebagai permulaan, dia membeli kira-kira 500 ekor keli induk untuk proses pembenihan dan sejak itu dia tidak lagi 'menoleh ke belakang' dalam bidang ini yang dikembangkan kepada beberapa spesies ikan air tawar.

"Setakat ini, penglibatan saya memberikan pendapatan bulanan kira-kira RM16,000 dengan purata menghasilkan sebanyak 200,000 benih setiap bulan," ujarnya.

Mohd. Afandi bersyukur kerana sebelum bapanya meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu, dia dapat menggembirakan arwah yang sempat melihat perjalanan usahanya itu dan perkembangan perniagaannya.

Mulai tahun ini, dia turut membantu membimbing golongan belia untuk terlibat serius dalam bidang ini setelah Kementerian Sumber Manusia yakin dengan keupayaannya.

Menurutnya, dia mengajar secara teori dan praktikal dalam latihan sambil belajar selama setahun bagi melengkapkan pengetahuan dan kemahiran mereka berasaskan apa yang pernah dilaluinya.

Dia berhasrat menjadikan pusat pembenihan itu antara yang terbesar di negeri ini dengan menyasarkan pengeluaran sejuta benih sebulan untuk pasaran dalam dan luar negeri tempoh dua tahun lagi.

"Ini memerlukan tambahan kolam dan tangki sehingga lebih 100 buah. Ia akan dilakukan berperingkat-peringkat di kawasan tanah berpasir seluas 0.8 hektar," katanya.

Anak-anak ikan keli dijual dengan harga antara lima hingga 10 sen seekor mengikut saiz. Kebiasaannya antara 70 hingga 80 peratus anak benih itu hidup dan membesar dalam tempoh tiga bulan.

Mereka yang berminat mendapatkan kursus atau bekalan anak ikan boleh menghubungi Mohd. Afandi di talian 019-0129545538 atau 0139475252.
Related Posts with Thumbnails