|
|
BATU PAHAT 13 Julai - Bagai menanam tebu di tepi bibir. Itulah antara perumpamaan yang membabitkan tanaman tebu dalam bahasa Melayu yang bermaksud seseorang yang menabur janji manis.
Jika perumpamaan itu akan kekal selamanya, namun tanaman tebu di negara ini kian 'terhakis' dek tanaman lain yang dianggap lebih menguntungkan.
Tetapi sebenarnya tanggapan itu silap kerana menanam tebu lebih mudah dan mampu menghasilkan pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Ini terbukti dengan peningkatan jumlah eksport tebu ke Singapura pada setiap tahun bermula 2004 dengan nilai RM3.04 juta sehingga mencecah RM5.8 juta pada 2007 dan pada tiga bulan pertama tahun lalu mencecah RM1.5 juta.
Bagi memastikan pembangunan industri tebu terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina sebuah Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di daerah ini.
Ia dibina di Lot 3421, Jalan Persekutuan Muar-Batu Pahat, Mukim 1 Lubok, Semerah dekat sini dengan kos RM4.5 juta dan beroperasi sejak Januari lalu. Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di Malaysia bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada petani dari negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Pegawai FAMA Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, dengan adanya kompleks itu, ia memberi impak positif kepada pengeksport, pemborong dan petani di negeri-negeri terbabit serta mampu meningkatkan lagi hasil pengeluaran.
Penubuhan kompleks itu juga untuk menggalakkan program pakatan pintar dan kerjasama antara sektor swasta dengan agensi kerajaan khususnya FAMA bagi membangunkan lagi industri tebu tempatan.
Jaini berkata, pembinaan kompleks itu diharap dapat membantu kerajaan menjadikan sektor pertanian sebagai penyumbang pendapatan negara dan pemangkin kepada individu terbabit agar lebih maju dan aktif.
Kompleks itu juga diyakini dapat meringankan beban pengeksport yang tidak berupaya menyediakan tempat pemerosesan mengikut tahap piawaian bagi tujuan pengeksportan yang ditetapkan.
Jaini berkata, kompleks itu mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutamanya petani, pengeksport dan pengusaha industri untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan mengenai tebu.
"Diharapkan kompleks ini dapat membantu menjana ekonomi negara menerusi pertanian dan penanaman tebu," katanya.
Katanya, bagi memberi peluang kepada petani yang berminat dalam penanaman tebu, buat julung kalinya Ladang Kontrak FAMA bagi tanaman tebu diperkenalkan dengan pembabitan kira-kira 68 petani dari Johor, Negeri Sembilan (6) dan Melaka (8).
Pasaran tebu juga dijangka memasuki pasaran antarabangsa iaitu ke negara Asia Barat tidak lama lagi.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman Ladang Kontrak Tebu antara FAMA, petani dan pengeksport, Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., telah diadakan tahun lalu.
Sumber:Oleh norzainura abdul majid
utusanjohor@utusan.com.my