Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, July 14, 2009

Petani digesa ceburi penanaman tebu

BATU PAHAT 13 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin menyeru petani di kawasan ini menceburi penanaman tebu kerana pusat pengumpulannya dibina di sini dan memudahkan mereka menjualnya.

Beliau yang melawat pusat pengumpulan tebu itu bersama para pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) baru-baru ini melahirkan rasa teruja dengan adanya pusat pengumpulan tebu itu kerana diyakini ia mampu menaikkan nama Batu Pahat sebagai pusat penanaman dan pengumpulan tanaman berkenaan.

"Dengan adanya kompleks ini, ia memberi peluang kepada petani tempatan dan peluang pekerjaan kepada individu yang berminat dalam bidang ini," katanya.

Beliau turut menggesa golongan belia menceburkan diri dalam penanaman tebu memandangkan petani sedia ada sudah lanjut usia.

Menurutnya, di daerah Muar terdapat 173 hektar tanaman tebu, manakala di Batu Pahat seluas 22.6 hektar yang terletak antara lima hingga 18 kilometer dari pusat pengumpulan tebu dan terdapat tujuh pengeksport tebu ke Singapura di kedua-dua daerah berkenaan.

Pengurus Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., Yumi Chee berkata, setiap hari sebanyak 10 tan tebu diperlukan untuk dieksport ke Singapura dan jumlah itu meningkat sehingga 20 tan sehari pada hari cuti.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha untuk memasuki pasaran antarabangsa iaitu ke negara Asia Barat seperti Iraq dan perbincangan telah dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, 30 tan tebu diperlukan setiap hari untuk dieksport ke Asia Barat tetapi bekalan sedia ada pada masa ini tidak mencukupi memandangkan petani kurang berminat menanam tebu.

Katanya, bekalan yang ada kini hanya mencukupi untuk dieksport ke Singapura dan beliau yakin tanaman itu mampu dieksport ke Asia Barat sekiranya petani menanam tebu secara komersial.

FAMA kini sentiasa memberi ruang dan peluang kepada petani dengan memberi khidmat nasihat mengenai penanaman tebu melalui kursus yang dijalankan.

Seseorang petani memerlukan modal sebanyak kira-kira RM20,000 bagi tanah 0.4 hektar untuk tanaman berkenaan dan penjagaannya mudah diuruskan.

Sumber: Utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails