Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata, projek agropolitan di Pekan itu melibatkan kawasan seluas 1,825 hektar dengan kos keseluruhan kira-kira RM90 juta.
Beliau berkata, seluas 1,000 hektar kawasan itu akan dimajukan dengan tanaman kelapa sawit manakala bakinya melibatkan projek ternakan kambing biri-biri, perumahan dan pusat penyelidikan.
"Di Agropolitan Pekan, perladangan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri dikenal pasti sebagai aktiviti utama.
"Aktiviti sekunder seperti inisiatif hiliran berkaitan kelapa sawit dan ternakan kambing biri-biri, industri sarang burung, jahitan, akuakultur dan tanaman cendawan juga disediakan," katanya pada sidang akhbar di Santuary Resort, Cherating di sini hari ini.
Menurut Issace John, seramai 50 peserta dipilih untuk menjayakan projek perintis ternakan kambing biri-biri di kawasan tersebut.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut jelas beliau, pihaknya mengimport 1,000 ekor kambing biri-biri dari Australia membabitkan kos hampir RM2 juta.
Secara keseluruhan katanya, projek terbabit akan melibatkan 1,450 keluarga termasuk 750 keluarga Orang Asli.
"Projek tersebut dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baru dan meningkatkan pendapatan isi rumah miskin tegar daripada RM350 kepada RM1,500," katanya.
Beliau memberitahu, Felda yang berperanan sebagai agensi pelaksana utama akan menguruskan para peserta, projek dan aktiviti berkaitan serta menguruskan aspek kewangan projek tersebut.
ECERDC pula katanya, akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek tersebut bagi memastikan setiap pencapaian projek disiapkan mengikut perancangan.
Beliau turut memberi jaminan hanya penduduk tempatan akan dilibatkan dalam projek tersebut bagi memastikan sasaran membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 tercapai.