|
|
KEMAMAN 17 Julai - Demi sesuap nasi Mohd. Ariffin Daud, 40, dari Kampung Paman di sini tetap tabah melakukan pekerjaan menangkap belut meskipun kadang-kala ia sering dianggap jijik oleh sesetengah orang.
Beliau melakukannya kerana menyedari ia adalah pekerjaan halal selain mampu menambah pendapatan sekeluarga.
Menyedari hakikat itulah, setiap petang pukul 6.30 Mohd. Ariffin dengan beberapa batang tukil (sejenis alat tangkapan belut) meredah rumput ditepi bendang yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya untuk menahan belut.
Pada kebiasaannya beliau akan menahan sehingga 40-50 tukil di beberapa petak bendang dan juga tali air.
''Ini dilakukan kerana pada kebiasaannya belut keluar pada waktu malam untuk mencari makan.
''Tukil yang ditahan akan dilumur dengan ikan yang dibakar dan cara sedemikian mampu memikat belut berkenaan masuk ke dalam tukil yang ditahan.
''Tukil diperbuat daripada paip PVC yang berukuran lilitan 3 inci serta panjangnya 3 kaki," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Paman di sini baru-baru ini.
Untuk menangkap belut, Mohd. Ariffin yang lebih dikenali 'Pak Pin' di kalangan penduduk setempat berkata, tukil akan diletak pada petak sawah dengan mencondong tukil berkenaan.
Pada bahagian bawah tukil pula akan ditutup dengan plastik manakala bahagian lain akan ditebuk lubang kecil bagi membolehkan belut memasuki tukil.
''Belut kemudian akan meloloskan diri lantaran badannya yang licin apabila terhidu aroma ikan bakar didalam tukil berkenaan," katanya.
Mohd. Ariffin berkata, tukil yang ditahan pada pukul 6.30 petang akan diangkat pada keesokan harinya mulai pukul 7.00 pagi.
Adalah menjadi perkara biasa setiap kali tukil diangkat beliau akan memperolehi belut seberat antara 10 dan 15 kilogram, adakalanya menjangkau hingga 25 kilogram.
''Pada kebiasaannya belut lebih suka bermain ditanah berpaya atau tali air yang berlumpur yang mengandungi rumput kering di dasarnya.
''Kawasan itu juga menjadi tempat permainan ikan kecil dan besar dan sekali gus menjadi makanan belut," katanya.
Mohd. Ariffin menambah, selepas ditangkap beliau akan menjual belut di beberapa restoran dan kedai makan berhampiran.
''Setiap kilo belut saya jual dengan harga RM15.00. Setakat ini mereka berpuas hati dengan harga yang ditawarkan," katanya.
Katanya, bagi menampung tempahan pelanggan yang semakin meningkat saya terpaksa bekerja lebih serta menambah lebih 50 buah tukir lagi.
''Alhamdulillah, setakat ini saya masih mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan. Ini kerana dengan keadaan bendang yang begitu luas ini, spesies belut masih banyak di kawasan ini," tambahnya.
Mohd. Ariffin menambah jika terdapat permintaan meningkat, pekerjaan menangkap belut dibantu oleh anak-anaknya.
Katanya, pembabitan anak-anak diperlukan kerana menyedari ia tidak mampu dilakukan secara keseorangan.
'' Saya sebenarnya sering melatih serta menunjuk tempat tempat yang menjadi tempat belut bermain kepada anak-anak," katanya.
Menurut Mohd. Ariffin kini anak-anaknya sudah mahir dengan tempat belut apatah lagi belut suka bermain dibendang dan tanah paya.
Mengenai khasiat belut, beliau berkata, ia boleh dijadikan sup, dagingnya manis serta berkhasiat.
Selain itu belut juga boleh membantu melancarkan perjalanan darah, mati pucuk dan juga mereka yang dihinggapi penyakit angin ahmar.
''Sesetengah penduduk di negeri ini melumatkan daging belut untuk dicampur dengan kuah laksa Terengganu.
''Ini kerana ianya begitu sesuai berbanding dengan ikan kerana kemanisannya,'' katanya.
Bapa kepada 9 orang anak yang berusia antara 4 bulan hingga 20 tahun ini begitu yakin menahan tukir di bendang lebih baik daripada memelihara belut di kolam.
Ini kerana dia tidak perlu menghabiskan wang yang banyak untuk membeli makanan belut sekiranya belut dijadikan ternakan.
''Ada ketikanya selepas memperolehi belut pelanggan akan sampai untuk mengambil tempahan mereka atau atau membelinya,'' katanya lagi.
Tambahnya lagi, beliau mempelajari cara menangkap belut daripada rakan rakannya ketika sama-sama tinggal di Kelantan.
Katanya, ia terjadi berikutan di negeri tersebut ramai penggemar belut manakala sebahagian lagi menjadikannya sebagai pekerjaan dalam kehidupan seharian.