Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, July 22, 2009

Veterinar perlu sedia hadapi cabaran

MERU - Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM2.5 juta untuk membantu membangunkan industri penternakan selain memberi bantuan dari segi teknikal melalui jabatan berkaitan terutamanya kepada penternak kambing dan lembu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, peruntukan itu walaupun agak kecil namun pasti akan dapat memberi manfaat kepada penternak yang benar-benar mahu memperkembangkan usaha mereka.

Menurut beliau, pihaknya amat menggalakkan masyarakat untuk menceburi bidang berkenaan namun berharap setiap penternak dapat mensasarkan usaha penternakan menggunakan kaedah moden serta dapat memberi kesan positif kepada ekonomi.

“Kita mahu penternak berwawasan untuk mempelbagaikan produk yang dihasilkan misalnya penternak lembu tidak harus mensasarkan untuk menjual hasil daging sedangkan mereka boleh menghasilkan beberapa produk lain contohnya baja berasaskan tinja lembu.

“Sebagai petani dan penternak harus fokus dan kreatif untuk memajukan usaha mereka dan dalam masa sama kita memerlukan lebih ramai petani dan penternak sepenuh masa yang boleh memberi tumpuan kepada kualiti dan kapasiti pengeluaran hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Veterinar 2009 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Meru di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Nor Aidah Abdul Rahim; Orang Besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir; Ketua Penolong Pegawai Daerah, Suliman Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Yaakob berkata, pihaknya amat menggalakkan kewujudan lebih ramai petani serta penternak yang dapat menjana pembangunan ekonomi diri sendiri serta negeri dengan hasil keluaran yang tinggi setiap bulan melalui usaha sepenuh masa berbanding mereka yang menjadikan dua bidang itu sebagai sumber pendapatan tambahan sahaja.

“Bagi petani atau penternak sepenuh masa, tidak mustahil mereka boleh menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, oleh itu kita fokus melalui jabatan dan agensi berkaitan untuk memberi bantuan kepada golongan ini kerana mereka memberi impak baik pada ekonomi.

“Kita juga mahu lebih mereka fokus membangunkan pertanian dan penternakan secara moden memandangkan kawasan tanah yang amat terhad di negeri ini maka hanya melalui kaedah dan teknologi moden sahaja dapat memenuhi keperluan bidang itu,” katanya.

Kata beliau, kaedah dan teknologi moden juga menjanjikan pulangan hasil lebih tinggi berbanding kaedah tradisional selain dapat menjana hasil lebih bermutu. Penternakan lembu dan kambing fidlot adalah antara kaedah moden dalam bidang itu.

Menurut Yaakob, peranan Pejabat Perkhidmatan Veterinar dalam bidang penternakan di negeri tidak dapat disangkal lagi selain menjadi pihak yang terpaksa berhadapan dengan cabaran yang besar terutamanya dalam menghadapi kewujudan penyakit bawaan haiwan.

“Tugas mereka (veterinar) sangat mencabar lebih - lebih banyak penularan wabak penyakit di peringkat global kini banyak bersangkut paut dengan haiwan seperti selesema burung dan terbaru, Influenza A atau H1N1.

“Mereka memikul tugasan besar sebenarnya selain bertanggung jawab membangunkan industri penternakan di negara ini ke arah yang lebih mantap,” katanya.

Beliau berkata, setelah lebih 100 tahun mereka memainkan peranan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu diperlengkap dengan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang berkenaan selain menggunakan teknologi dan peralatan moden untuk meningkatkan nilai jabatan itu pada masa akan datang.
Related Posts with Thumbnails