Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, July 22, 2009

Timur: 5 tasik dipilih jadi estet ikan

Projek diperkenal berupaya beri pulangan kepada penduduk

TEMERLOH: Jabatan Perikanan memilih kawasan lima tasik semula jadi yang terbiar di sekitar Lanchang, dekat sini untuk melaksanakan projek rintis estet ikan air tawar bagi memperluaskan industri akuakultur dan membantu menambahkan pendapatan penduduk luar bandar.

Antara tasik yang dikenal pasti bagi melaksanakan projek rintis itu ialah Tasik Lana, Tasik Rantau Panjang, Tasik Chempaka dan Tasik Tris.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata menerusi projek berkenaan semua paya dan tasik akan dipulihkan bagi memastikan ia digunakan untuk aktiviti ternakan ikan air tawar.

Katanya, projek estet ikan yang baru diperkenalkan itu berupaya memberi pulangan yang menguntungkan kepada penduduk kampung yang terpilih sebagai peserta projek itu.

"Jabatan Perikanan akan melantik kontraktor bagi melakukan kerja seperti membersih, mendalamkan dan membaiki sistem saliran di semua paya yang terbiar.

"Anak ikan seperti talapia, jelawat, kap rumput, lampam jawa dan keli, termasuk makanan ikan akan dibekalkan kepada estet ikan sebagai galakan kepada projek berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan dan Lawatan Kerja Komuniti Akuakultur Kampung Chempaka, Lanchang, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohamad Mat Saman.

Ahamad Sabki turut melepaskan lebih 10,000 benih ikan spesies kap rumput, talapia dan jelawat ke dalam Paya Lana dan Paya Chempaka.

Katanya, projek itu boleh bertindak sebagai serampang dua mata iaitu selain memperoleh hasil jualan ikan turut berupaya menjadi produk pelancongan dengan aktiviti riadah seperti memancing dan bakar ikan bersama keluarga.

"Jabatan ini memperuntukkan sebanyak RM32.5 juta menerusi Dasar Jaminan Makanan Nasional yang turut membabitkan usaha pemulihan kolam, paya dan tasik terbiar di seluruh negara.

"Menerusi projek rintis estet ikan di Lanchang ini, kita berharap pengeluaran ikan air tawar negara dapat ditambah dua hingga tiga kali ganda pada masa akan datang sekali gus dapat memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan," katanya.

Pada 2007, Ahamad Sabki berkata, negara mengeluarkan 70,000 tan metrik ikan air tawar, jumlahnya bertambah kepada 95,900 tan metrik pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Projek Ternakan Ikan Air Tawar Paya Lana, Abd Shukur Yaakub, 59, berkata tasik Lana mempunyai keluasan 26.3 hektar diusahakan 32 peserta terdiri daripada milik tanah yang sebelum ini dijadikan kawasan sawah padi.

"Pelbagai spesies ikan air tawar terdapat dalamnya seperti talapia, lampam jawa, kap rumput, keli, jelawat dan patin. Ikan paya seperti haruan, puyu, sepat dan bujuk turut dilepaskan.

"Selain anak ikan yang dibekalkan Jabatan Perikanan negeri, jawatankuasa peserta projek juga turut membeli benih daripada pembekal tempatan," katanya.

Abd Shukur berkata, selain bantuan awal anak ikan, Jabatan Perikanan negeri juga turut menyediakan makanan sebagai langkah meringankan beban kos yang ditanggung.

Katanya, dua sistem ternakan ikan digunakan di Paya Lana, pertama ikan diternak secara bebas selain menggunakan sangkar yang ditempatkan di beberapa kawasan yang sesuai.

Beliau berkata, selain hasil jualan ikan sangkar, aktiviti memancing dan program mengeringkan air paya menjadi sumber pendapatan peserta yang menyertai projek itu.
Related Posts with Thumbnails