Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, November 27, 2012

Sumbangan kepada eksport




INDUSTRI sarang burung walet (SBW) merupakan antara 16 projek Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).Projek tersebut mampu memberi sumbangan yang tinggi kepada nilai eksport negara.

Kementerian terbabit meramalkan industri SBW akan menyumbangkan RM5 bilion atau 10 peratus daripada nilai keseluruhan eksport sektor pertanian menjelang tahun 2020.Sektor tersebut juga bakal menawarkan kira-kira 20,000 peluang pekerjaan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pemindahan dan Pengkomersialan Teknologi), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Masri Muhamad, unjuran pendapatan dan kebolehupayaan industri SBW bergantung kepada pasaran di China.

"Keadaan tersebut (pasaran) turut disokong oleh permintaan yang semakin meningkat sejajar dengan peningkatan pertumbuhan pendapatan dan daya beli pengguna di pasaran China."Produk sarang burung negara mempunyai kelebihan berbanding negara lain kerana Malaysia masih bebas daripada sebarang penyakit selesema burung," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Dr. Masri, kelebihan produk SBW negara yang tidak memiliki sebarang penyakit diterima dengan meluas di pasaran antarabangsa.

Kelebihan itu juga dilihat membantu Malaysia untuk bersaing dengan dua lagi pemain utama industri SBW dunia iaitu Thailand dan Indonesia.

Namun, sejak kebelakangan ini, kelebihan bandingan antara negara telah terjejas akibat penemuan kadar nitrit yang tinggi dalam SBW oleh pihak berkuasa China.

Bagi melonjakkan semula keupayaan Malaysia dalam menerajui pasaran eksport SBW, kementerian telah mewujudkan Pusat Kecemerlangan Burung Walet di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penubuhan pusat tersebut untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh bagi tiga aspek utama iaitu pengeluaran, pemprosesan, dan pemasaran.Satu pasukan penyelidik yang terdiri daripada saintis daripada UPM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan MARDI telah ditubuhkan.

MARDI, melalui Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Pengurusan Teknologi telah mengambil tanggungjawab menjalankan penyelidikan dalam bidang pemasaran.Oleh itu kata Dr. Masri, bermula hari ini hingga esok MARDI dengan kerjasama JPV, UPM, AgroBank akan mengadakan Seminar Kebangsaan Industri Sarang Burung Walet (EBNIC) 2012 di Hotel Marriot, Putrajaya.Seminar yang turut disokong oleh MOA diadakan bagi mengenal pasti dan memberi kefahaman mengenai isu pemasaran, cabaran dan status terkini struktur pembangunan serta inisiatif kerajaan bagi memajukan industri tersebut.

Malah, menerusi seminar tersebut, pihak yang terlibat dengan SBW dapat menyebarkan maklumat dan kemajuan baru bagi amalan dalam industri hiliran SBW.Pada seminar itu juga, kedudukan daya saing industri SBW negara juga turut dibincangkan di peringkat antarabangsa.

Tambah Dr. Masri, seminar selama dua hari tersebut terbuka kepada mereka yang berminat terutamanya penyelidik, ahli akademik, pegawai kerajaan, pengusaha, peladang, agen pengembangan dan juga pelajar.

"Antara isu yang akan dibincangkan adalah cabaran, isu dan kekangan, kualiti dan keselamatan.

"Seterusnya perkongsian pengalaman, pemasaran dan dagangan, peruntukan kewangan dan yang terakhir pembangunan dan penyelidikan," katanya.Selain itu, orang ramai yang berminat turut dijemput untuk menyertai pembentangan kertas kerja serta poster mengikut tema dan sesi persidangan.

Sesi tersebut merupakan landasan yang strategik bagi ahli akademik dan pengamal industri membentangkan hasil penyelidikan dan pengetahuan.Seminar itu juga akan membentangkan dan mengetengahkan hasil kajian para penyelidik dan pemain industri buat julung-julung kalinya secara bersama membabitkan empat organisasi penting.

Malah, seminar itu juga turut memberi fokus kepada aspek pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran produk bagi mencapai tahap daya saing dan kelestarian industri SBW negara.
Related Posts with Thumbnails