Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, May 26, 2009

Dari air ke manisan tebu


Wan Hamidatun Wan Ishak membantu ibunya Hindon Abdullah menghasilkan air manisan tebu di rumah mereka di Kupang, Kedah.
Biasanya kita tidak akan merasai kepuasan dengan hanya sekali meminum airnya. Air tebu sememangnya minuman yang popular terutama ketika dijadikan penghilang dahaga ketika umat Islam berbuka puasa di bulan Ramadan.
Kita juga mengetahui, tebu adalah tanaman yang digunakan untuk menghasilkan gula yang menjadi keperluan bagi segenap manusia.
Namun di sebalik keenakan airnya agak jarang bagi kita mengetahui air tebu boleh menghasilkan produk lain yang mampu menjadi daya tarikan terbaru dalam dunia makanan.
Manisan tebu satu lagi produk berasaskan air tebu yang begitu manis tetapi mengambil masa yang agak panjang untuk menghasilkannya.
Dua beranak di Kampung Tiak Kupang, Kedah mencetuskan idea baru mengeluarkan produk manisan tebu selepas kebun tebu yang seluas lebih satu hektar digunakan sepenuhnya untuk menambah pendapatan keluarga.
Hindon Abdullah,53, dan anaknya, Wan Hamidatun Wan Ishak, 24, yang mengusahakan kebun tebu ternyata tidak mempersiakan kerana memanfaatkan tebu bagi menghasilkan produk yang boleh dipasarkan dengan meluas.
Menjelaskan lebih lanjut Hindon berkata, selain menjual tebu dan airnya, beliau terfikir manisan tebu yang biasanya menjadi amalan orang terdahulu yang mengilhamkan pelbagai makanan untuk memenuhi cita rasa masing-masing.
"Oleh kerana pengeluaran tebu yang semakin banyak menyebabkan kami berusaha mengeluarkan manisan tebu istimewa ini," katanya.
Menurut Hindon, walaupun proses membuat dan menghasilkan manisan tebu agak rumit dan mengambil masa yang lama, namun dia tekad untuk terus menjalankan perniagaan ini kerana mampu menambah pendapatan keluarganya.
Hindon menambah pada peringkat awal dia hanya memproses air tebu pada jumlah yang sedikit iaitu antara 30 hingga 50 kilogram sekadar mencuba.
"Selepas manisan tebu dihasilkan saya hanya menjual secara kecil-kecilan di tepi jalan berhampiran rumah," ujarnya.
Tetapi ibu kepada enam anak ini tidak menjangka sambutan yang agak menggalakkan sehingga menerima banyak tempahan daripada orang ramai.
Tambahnya, pasaran pertama datang dari Kelantan kerana dia menjual ditepi jalan Kupang ke Grik dan Kelantan.
Manisan tebu keluaran Syarikat Gadis Tebu Enterprise ini ternyata kini menembusi bukan sahaja pasaran tempatan malah mendapat tempahan dari peniaga dari Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Baharu.
Dari satu mesin memproses air tebu, kini syarikat berkenaan mempunya tiga mesin bagi mempercepatkan pengeluaran manisan tebu.
Bagi Wan Hamidatun, proses membuat manisan tebu memerlukan ketelitian termasuk memilih tebu terbaik bagi mengelak manisan mudah masam.
"Proses memilih tebu perlu dibuat dengan teliti kerana jika tersilap menyebabkan manisan menjadi masam," katanya.
Mengenai proses membuat manisan, Wan Hamidatun berkata, selepas proses memilih tebu beliau akan mengikis batang tebu bagi membuang debu untuk mengelak termasuk ke dalam airnya selepas diperah.
Kemudian tebu akan dimasukkan ke dalam mesin bagi mengeluarkan airnya dan ditapis.
Menurut Wan Hamidatun, proses menapis dilakukan sebanyak dua kali bagi membuang sisa yang termasuk ke dalam airnya.
Proses seterusnya ialah memasak air tebu itu yang mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam.
Kini kedua-dua beranak tersebut mampu mengeluarkan antara 100 hingga 150 kilogram manisan air tebu.
Manisan yang siap dimasak akan disejukkan sebelum dibotol dan dilabelkan.
Tambah Wan Hamidatun, manisan tebu yang seberat 340 mililiter akan dijual dengan harga RM5.00 sebotol.
Selain dimakan begitu sahaja manisan tebu akan lebih enak lagi jika dicecah dengan roti.
Kebiasaan orang tua dahulu memilih manisan tebu untuk dimakan dengan ubi kayu atau dibuat pengat.
Penangan manisan tebu akan lebih bermakna dicecah dengan ubi kayu yang dimakan bersama parutan kelapa sudah cukup kesedapannya.
Bagi Wan Hamidatun, dia begitu teruja untuk memasarkan produk keluaran syarikatnya memasuki pasar raya besar kerana dia yakin produk seperti itu belum pernah menakluki pasaran tersebut.

Monday, May 25, 2009

Utusan Malaysia - Penggunaan 'eco-microbe' dan Mudball untuk penjagaan sungai

Penggunaan 'eco-Microbe' dan Mudball' untuk merawat Sg. Way , Kelana Jaya.

Artikel di atas adalah antara beberapa projek yang telah di buat oleh Circle Field Sdn. Bhd dalam penggunaan produk 'eco-Microbe' dan Mudball dalam Projek Pemulihan Sg. Way Di Desa Mentari bertujuan meningkatkan kualiti air sungai tersebut dari Kelas Kualiti Air 4 ke kelas 2B bersama komuniti tempatan.


Ini adalah mudball eco-Microbe yang digunakan untuk rawatan dasar sungai.













Ini adalah CF Enviro eco-Microbe yang digunakan dalam rawatan atas Sg Way tersebut.

Sunday, May 17, 2009

Rebut peluang ceburi bidang ternakan

MELAKA Mei - Masyarakat terutamanya golongan belia yang masih menganggur disaran menceburi bidang pertanian dan penternakan yang dapat memberi pulangan yang lumayan.

Selain itu, mereka yang telah mengusahakan bidang itu secara sara diri juga boleh beralih kepada komersial untuk menambah pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof berkata, orang ramai perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan hari ini untuk menceburi dan meningkatkan penghasilan produk pertanian dan ternakan negara.

Katanya, tanpa mengira latar belakang pelajaran, semua golongan masyarakat mampu menyumbang kepada bidang pertanian.

''Bidang pertanian ini mampu diceburi sesiapa sahaja sama ada yang berpelajaran tinggi atau sebaliknya tetapi perlulah mempunyai semangat yang tinggi.

''Mereka yang telah menceburinya pula jangan hanya melihatnya sebagai penanaman sayur-sayuran atau padi untuk kegunaan sara diri semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus berusaha meningkatkan hasil untuk dijual bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

''Penternakan juga termasuk dalam bidang pertanian seperti ternakan lintah yang semakin mendapat permintaan dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, selain ternakan ayam, itik, puyuh, ikan keli dan haruan, penternakan lintah juga semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pada masa ini.

''Saya lihat ternakan lintah, burung walit atau layang-layang dan cacing umpamanya, telah berjaya menjangkau ke pasaran luar negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan beliau terutamanya supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam suasana ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini.

''Kalau ada tanah di kampung, baliklah dan manfaatkan setiap ruang tanah yang ada dengan tanaman dan ternakan sesuai daripada terus menganggur tanpa sebarang pendapatan," katanya.

Sumber:Utusan Online

Jus tebu telur ke Singapura


RAMLI Ahmad memikul seikat tebu telur yang baru ditebang di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian, Jelebu, baru-baru ini.


JELEBU Mei - Mungkin ramai yang tidak tahu tanaman tebu telur yang diusahakan di sekitar kawasan Simpang Durian dekat sini menjadi pilihan utama sebuah syarikat pengilang air tebu di Johor untuk dibotol serta dipasarkan sebagai jus di Singapura.

Kadar kemanisan tinggi, warna hijau keemasan serta aroma harum air yang dihasilkan merupakan antara faktor utama tebu telur dari kawasan tersebut mendapat permintaan tinggi.

Faktor persekitaran yang sangat sesuai seperti iklim panas berpanjangan serta tanah liat berpasir di kawasan itu menyumbang kepada kualiti tinggi jus tebu telur yang dihasilkan.

Seorang pengusaha tanaman tersebut, Ramli Ahmad, 38, berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri banyak memberi bantuan dari segi memasarkan air tebu telur keluaran ladangnya untuk dieksport ke Singapura.

Katanya, permintaan tinggi terhadap air tebu telur dari Simpang Durian di negara jiran itu sememangnya satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

''Saya sangat gembira bila mengetahui FAMA negeri membekalkan tebu telur yang diusahakan di ladang saya kepada pengilang jus tebu untuk dieksport ke Singapura," ujar Ramli ketika ditemui di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian dekat sini baru-baru ini.

Beliau menambah, ladang yang diusahakan dengan bantuan dua pekerja itu mengeluarkan 500 ikat tebu telur sebulan khusus untuk dibekalkan kepada FAMA.

Secara purata, beliau memperoleh kira-kira RM10,000 setiap musim hasil jualan tebu telur keluaran ladang seluas 4.8 hektar yang disewa daripada penduduk setempat sejak tujuh tahun lalu.

Ujarnya, dia merancang untuk menambah keluasan ladang tebu sebanyak 2.4 hektar lagi menjelang pertengahan tahun ini bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

''Bagi memastikan kualiti tebu terjamin, saya mengambil langkah-langkah kawalan penyakit seperti semburan racun makhluk perosak mengikut jadual yang ditetapkan.

''Di samping itu, Pejabat Pertanian Simpang Durian banyak memberi khidmat nasihat berhubung kaedah-kaedah penanaman serta penjagaan tanaman," katanya.

Menurut Ramli lagi, kegiatan menanam tebu telur merupakan sumber pendapatan utama kepada keluarganya menjangkaui dua generasi.

Beliau memberitahu, bapanya, Ahmad Bidin, banyak memberi tunjuk ajar tentang ilmu yang diperlukan bagi menghasilkan tebu telur berkualiti tinggi.

''Kini, anak sulung saya, Mohd. Firdaus, 5, rajin menemani saya ke ladang. Dia turut membantu sekadar yang terdaya mengikut kemampuannya sebagai seorang kanak-kanak.

''Saya berharap Mohd. Firdaus akan mewarisi ilmu menanam tebu dan mengambil alih pengurusan serta memajukan ladang tebu telur yang sedang diusahakan ini apabila dia dewasa," ujarnya.

Sementara itu, Pembantu Ehwal Ekonomi FAMA Simpang Durian, Nor Effindi Liki, 32, berkata, Ramli merupakan salah seorang daripada 20 pengusaha ladang kontrak di kawasan berkenaan yang menghasilkan tebu telur khusus untuk dipasarkan oleh FAMA.

Katanya, secara keseluruhan, keluasan ladang kontrak tanaman tebu telur di sekitar kawasan tersebut adalah sebanyak 50 hektar dan FAMA Simpang Durian berhasrat menambah hingga 10 lagi pengusaha baru menjelang penghujung tahun ini.

Sumber :utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails