|
|
MELAKA 16 Ogos - Ternakan ikan keli bukanlah asing dalam bidang akuakultur yang terbukti dapat memberikan hasil lumayan. Selain digunakan sebagai masakan, sebuah syarikat milik bumiputera, Amz Gemilang Sdn. Bhd.
(AMZ Gemilang) berjaya membuktikan ikan keli bukanlah boleh dijadikan lauk semata-mata.
Pengurus Jualan AMZ Gemilang, Abd. Manan Aziz berkata, hasil penyelidikan, syarikat itu berjaya memasarkan produk makanan ringan yang dikenali Keli Fillet Chips yang baru sebulan berada di pasaran.
Menurutnya, makanan yang berkhasiat tinggi itu diperbuat daripada 100 peratus isi ikan keli organik yang diternak menggunakan kaedah sistematik yang dikawal pemakanannya.
"Ikan keli organik mempunyai kandungan asid lemak Omega 3 yang tinggi sebab itulah Keli Fillet Chips menjadi makanan ringan berkhasiat yang patut dicuba," katanya.
Abd. Manan berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di gerai promosi makanan itu sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.
Menurutnya, khasiat yang terdapat pada ikan keli adalah mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung, meningkatkan tahap penglihatan dan membantu mengurangkan risiko artherioskleriosis.
Tambahnya, Keli Fillet Chips dihasilkan menggunakan isi ikan keli yang disalai sebelum ditaburkan sos sebelum disalai sekali lagi.
"Buat permulaan kita cuma mengeluarkan perisa pedas yang dijual di dalam bekas botol 500 gram berharga RM15 dan paket 250 gram pada harga RM2.50.
"Akan datang, Keli Fillet Chips berperisa barbeku, ayam, asli dan tomato akan berada di pasaran," katanya sambil menambah memerlukan pengedar untuk memasarkan produk syarikat yang terletak di Shah Alam itu.
Mereka yang berminat menjadi pengedar boleh menghubungi Abd. Manan di talian 012-3884665 atau Shaharul Azuar Idris (013-3424344).
Sumber:Utusan Malaysia