ROMLI menunjukkan tujuh ramuan herba yang dipercayai mampu mencegah penularan wabak H1N1 di kediamannya |
200 pelanggan pulih selepas ambil herba diadun jadi kapsul
PENDANG: Seorang pengamal perubatan tradisional di Bukit Kuang di sini, mendakwa mampu mengubati Influenza A (H1N1) menggunakan tujuh jenis herba dan buah tempatan yang dihasilkan sendiri sejak sebulan lalu.
Pesara guru, Romli Hussin, 56, mendakwa lebih 200 pelanggan yang menggunakan herba itu termasuk lima ahli keluarganya yang mempunyai simptom seperti H1N1, iaitu demam berpanjangan, batuk, selesema, sakit tekak dan pening kepala pulih selepas beberapa hari mengambil herba berkenaan.
Katanya, kemampuan herba itu untuk mencegahnya teruji apabila anak keempatnya, Rohizati, 20, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pulang ke kampung selepas universiti itu ditutup seminggu sebagai langkah mengawal penularan wabak H1N1.
“Dia mengalami simptom seperti demam dan sakit tekak dan keadaan itu bertambah serius apabila empat ahli keluarga saya termasuk isteri, Roshidah Ismail, 43, turut mengalami simptom hampir sama.
"Selepas beberapa jam mengambil herba ini, anak saya menunjukkan reaksi yang positif dan kembali segar daripada kelesuan. Demam panasnya juga berkurangan dan badannya mula berpeluh," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Sebelum itu, Romli sudah menghasilkan 13 jenis produk berasaskan herba yang dihasilkan sendiri menggunakan kepakaran diwarisi daripada ibu bapanya yang mempunyai latar belakang sebagai pengamal perubatan tradisional.
Minat yang mendalam untuk meneroka khazanah alam yang diwarisi sejak zaman berzaman, beliau sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk menjalankan penyelidikan termasuk menghantar herba itu untuk dianalisis oleh agensi berkaitan.
Romli berkata, dia juga memberikan herba itu kepada ahli keluarganya dan kenalannya termasuk 60 pelajar sebuah sekolah menengah agama rakyat (SAR) di Batu 16, Jalan Alor Setar-Sungai Petani yang mengalami simptom hampir sama dengan H1N1.
Sementara itu, setiausaha sekolah agama berkenaan, Mohd Najib Fahami Yahya, 54 yang dihubungi berkata, hampir 80 peratus daripada 60 pelajar sekolahnya yang mengalami simptom H1N1 sembuh selepas menggunakan herba berkenaan seminggu lalu.
Sumber:Utusan Malaysia