Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, January 6, 2010

Manfaatkan pertanian


NEGARA terpaksa mengimport 103,000 tan daging untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan. - Gambar hiasan


WALAUPUN pernah gagal, dia akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah satu perniagaan.

Ahmat Termizi mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

"Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika terpaksa menjadi pemandu lori," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasib mula berubah apabila dia menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn. Bhd. pada tahun 1996. Ahmat Termizi yang merupakan pengarah urusan syarikat itu memberitahu, dia turut memiliki beberapa anak syarikat termasuklah Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn. Bhd. dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.


MAKANAN ringan seperti kerepek ubi mempunyai pasaran yang besar untuk dieksport - Gambar hiasan


Pengalaman 20 tahun

Pada tahun 2004, syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang dari Jabatan Pertanian. Sekali gus ia membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

"Selepas 20 tahun bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar. Kini, hampir 20 peratus daripada keluaran kilang seperti karepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.

Kilangnya yang menggaji kira-kira 20 pekerja tetap mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Buat masa ini, jualan kerepek ubi kayu dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun. Sebanyak 80 peratus pengeluaran untuk pasaran tempatan, manakala selebihnya bagi pasaran luar negara.

Menternak kambing

Seorang lagi usahawan, Mahathir Talib, 35, pula terlibat dalam bidang ternakan kambing secara komersial di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka. Dia yakin bahawa sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Potensi sektor penternakan sememangnya amat luas. Malah, masih banyak lagi ruang yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan lagi sektor tersebut.

"Melihat kepada potensi ini, saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, biri-biri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Mahathir memberitahu, pada permulaan operasi dia mempunyai 60 ekor kambing betina dan lima ekor kambing jantan daripada pelbagai baka seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean selain biri-biri Barbados, Lonte dan Malin.

Syarikatnya kini menjalin usaha sama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar. Kambing yang diternak Mahathir sekarang berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800 kilogram (kg) daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang bagus. Saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung kepada berat dan bakanya," katanya yang kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang dan 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

Tidak putus asa

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, dia tidak pernah berputus asa kerana yakin ia mampu menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung. Pada pertengahan tahun, dia membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000. Setahun kemudian, Othman mula membeli lembu pula.

Jelas Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit. Jika ia berlaku pastinya kerugian besar terpaksa ditanggung apabila ternakan mati dalam jumlah yang banyak.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu dan 170 ekor kambing," katanya.


JIKA diusahakan dengan betul dan bersungguh-sungguh perusahaan membuat kerepek mampu memberi pulangan yang lumayan.


Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Karim berkata, pada 2008 Malaysia terpaksa mengimport daging lembu sebanyak 103,000 tan bernilai RM883.9 juta dan 18,000 tan daging kambing bernilai RM188 juta.

Menurutnya, Sarawak dan Sabah berpotensi untuk dijadikan pusat ternakan lembu serta kambing secara komersial kerana Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia mengiktiraf Pulau Borneo sebagai pulau bebas penyakit kuku dan mulut haiwan.

"Setakat ini, Malaysia hanya mampu mengeluarkan 25 peratus bekalan daging walaupun kita mempunyai kemampuan untuk mengeluar lebih banyak daging bagi keperluan tempatan," katanya.

Sementara itu, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan secara serius pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan Batang Lupar, Sarawak.

Jelasnya, industri asas tani memang berpotensi besar untuk meningkatkan ekonomi masyarakat desa. Diharapkan penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian dapat merangsang sektor tersebut di negara ini. - Bernama

Related Posts with Thumbnails