Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Monday, June 3, 2013

Bank simpanan air mani haiwan

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Suasana Pusat Embrio Haiwan Negara (NAEC), Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kluang, Johor, tidak seperti hari-hari biasa.
Kehadiran pelajar Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Belitong, Kluang, bersama guru memecah kesunyian pagi.
Gelagat Mohd Adam Syariff, 15, antara yang menarik perhatian penulis dan kakitangan NAEC kerana ‘fobia’ kepada kambing.

Bagi pengurusan sekolah, lawatan itu memberi banyak manfaat kepada pelajar istimewa kerana ia membuka peluang kepada mereka yang mengikuti Program Integrasi Pendidikan Khas.

FotoSPERMA yang dikumpulkan dalam tiub.

Lawatan itu mengisi minat pelajar istimewa itu untuk lebih berdikari selepas menamatkan sesi persekolahan.


Penulis bersama kumpulan pelajar istimewa itu bertuah kerana mendapat peluang melihat lebih dekat demonstrasi pungutan air mani di kandang kambing jantan.

Proses memungut air mani itu menggunakan induk Dorper betina dan jantan.

Seekor Dorper betina yang dijadikan ‘umpan’ diletak dalam rak pembiakan untuk merangsang seksual Dorper jantan.

Apabila kambing itu bersedia melakukan hubungan seksual, seorang pekerja am, Md Rizan Sulaiman menggunakan alat faraj tiruan untuk Dorper jantan.

Dalam tempoh tidak sampai seminit, Dorper jantan akan mengeluarkan air mani ke faraj tiruan sekali gus membolehkan bekalan air mani dikumpulkan dalam tiub.

Selepas sesi pertama selesai, Pembantu Penyelidik Kanan NAEC, Rozali Hashim menggred air mani menggunakan alat mikroskop.

Difahamkan air mani tidak boleh bercampur air biasa kerana itu menyebabkan sel mati dan membantutkan usaha mengumpul bahan berkenaan.

Penulis yang diberi peluang melihat sendiri air mani Dorper jantan mendapati sperma dihasilkan begitu aktif dengan keadaan fizikalnya seperti anak berudu sedang berenang.

Ketua NAEC, Dr Habsah Bidin berkata, pusat itu yang ditubuhkan pada 2008 membantu meningkatkan kualiti ternakan dan pengeluaran kambing dan lembu dalam negara.

“Selain pusat pembangunan teknologi, pusat itu menjadi pusat simpanan gen, ova, sperma dan embrio ternakan,” katanya.

Secara keseluruhannya, NAEC membangun teknologi pengeluaran embrio yang berkualiti tinggi secara in vivo dan in vitro menggunakan baka yang diimport dari luar negara.

“Kami juga membangunkan program latihan kepada penternak untuk mengaplikasikan bio teknologi pembiakan dan pengeluaran embrio,” katanya.

Dr Habsah berkata, aktiviti NAEC merangkumi pungutan semen dan embrio, proses krio awetan semen dan embrio, permanian beradas, pemindahan embrio, pengesanan kebuntingan dan persenyawaan secara in vitro, suntikan sperma ke dalam oosit (ICSI) dan pengklonan.

“NAEC adalah pusat simpanan bank gen dan embrio ternakan ruminan dan bukan ruminan serta spesies lain yang berpotensi termasuk Seladang,” katanya.

Pusat itu menyimpan sperma baka lembu Brakmas, biri-biri Dorper, kambing Boer, Savana, Kalahari dan Jamnapari untuk digunakan jika mendapat permintaan.

“Simpanan itu boleh bertahan untuk selama-lamanya selagi diletak di bawah suhu negatif 196,” katanya.

Katanya, penternak yang berminat mendapatkan perkhidmatan NAEC perlu mengemukakan surat permohonan kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik .

“Selepas mendapat kelulusan, kami akan melawat ke ladang bagi melihat pengurusan ladang.

“Lawatan itu membolehkan kami memeriksa saluran pembiakan dan mengesan kebuntingan ternakan,” katanya.

Sumber:harian metro :Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27
Related Posts with Thumbnails