GANDINGAN mantap Dr Suzana (dua dari kiri), Dr Hasnah (dua dari kanan) bersama kajian tempe dilakukan mereka.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
Populasi di negara ini mengalami proses penuaan dengan jangka hayat wanita melebihi lelaki iaitu purata umur sekitar 79 tahun.
Meskipun jangka hayat golongan berkenaan tinggi, kualiti hidup pula
tidak memuaskan termasuk berdepan dengan masalah pengurangan jisim
tulang yang agak tinggi.
Wanita juga menghabiskan sisa hidup dengan mempunyai jisim tulang
yang rendah dan boleh membawa kepada keadaan osteoporosis atau tulang
rapuh.
Ini menambah lagi risiko tulang patah dan mengurangkan pergerakan seseorang.
Melihat kepada senario dialami golongan itu, penyelidik daripada
Program Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengkaji mengenai penyerapan
kalsium menggunakan isotop stabil.
Kajian ini diketuai Timbalan Dekan FSK, Prof Dr Suzana Shahar
daripada Program Dietetik manakala penyelidik bersama kajian ini adalah
Prof Madya Dr Hasnah Haron, yang juga Pensyarah Kanan daripada Program
Pemakanan menjalankan kajian ini sebagai kajian doktor falsafah (PhD).
Tajuk kajian yang dijalankan adalah Penyerapan Kalsium Di Kalangan
Wanita Melayu Menopaus Yang Mengambil Tempe Berbanding Susu Menggunakan
Kaedah Isotop Stabil.
Kajian mendapati tempe daripada kacang soya mempunyai jumlah penyerapan kalsium yang tinggi setanding susu.
Tempe juga mengandungi isoflavon iaitu sejenis antioksidan yang
mampu memerangi kerosakan sel, mengurangkan simptom menopaus serta
meningkatkan jisim tulang khusus kepada golongan wanita.
Isoflavon memberi banyak manfaat untuk wanita dan boleh mencegah
risiko penyakit kardiovaskular, kanser dan mengurangkan gejala ‘hot
flushes’ (panas badan yang disebabkan perubahan hormon dalam kalangan
wanita yang mengalami menopaus).
“Kajian di Jepun membuktikan ‘hot flushes’ berkurangan dalam kalangan wanita menopaus yang mengambil kacang soya,” katanya.
Namun, kajian mendapati menggoreng tempe dalam minyak yang banyak mengurangkan kandungan isoflavon.
Katanya, kajian yang mereka jalankan adalah salah satu projek di bawah badan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Kajian pemakanan yang menggunakan isotop stabil selamat digunakan
ke atas bayi, wanita mengandung serta menyusukan anak dan warga tua,”
katanya.
Menurutnya, pengambilan kalsium terutama dalam kalangan wanita
Melayu yang menopaus di pedalaman antara 200 hingga 300 mg sehari
sedangkan wanita Cina menopaus kurang daripada 500 mg/sehari.
“Kajian mendapati wanita dalam usia ini mengambil purata 30 hingga
60 peratus daripada 1,000 mg kalsium/sehari yang dicadangkan
Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan, Saranan Pengambilan Nutrien (RNI)
2005.
“Cara kami menyediakan tempe ialah dengan menggoreng bersama tepung.
Kami perlu memberi subjek kajian sebanyak 240 gram tempe yang
mengandungi 150 gram kalsium.
“Dalam kajian isotop stabil, kita perlu memberikan satu pertiga
daripada pengambilan kalsium biasa dalam populasi ini (500 miligram) dan
ini bersamaan 150 miligram kalsium,” katanya.
Kajian isotop stabil dijalankan dengan menjemput pakar pemakanan dari Universiti Cornell, USA iaitu Prof Dr Kimberly O’Obrien.
“Penyaringan terhadap subjek dilakukan dengan kebanyakan mereka
tinggal di sekitar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
(PPUKM).
“Subjek juga membabitkan golongan warga emas Melayu berusia 55
hingga 65 tahun dan mengalami menopaus selama lima tahun,” katanya yang
menjalankan kajian isotop stabil dari 2006 hingga 2008.
Dalam kajian itu, hanya subjek yang sihat dan tidak mengambil ubat diambil kerana ubat akan mempengaruhi penyerapan kalsium.
Kajian itu adalah yang pertama di dunia mengenai penyerapan kalsium daripada tempe.
“Kajian ini dapat mengubah persepsi mengenai tempe kerana ia adalah
sumber kalsium dan berpotensi mengurangkan kehilangan jisim tulang dalam
kalangan wanita menopaus serta perkembangan kanak-kanak,” katanya.
Hasil kajian menunjukkan empat hidangan tempe akan memberikan kalsium yang setara dengan secawan susu.
“Susu memang sumber kalsium yang terbaik manakala tempe juga
mengandungi kalsium, tetapi tidak setinggi susu, maka kita memerlukan
empat hidangan tempe berbanding secawan susu.
“Apabila kami dapat hasil kajian seperti ini, kami ingin menyebarkan kebaikan makanan tempe ini kepada masyarakat umum.
“Tempe mengandungi kandungan isoflavon yang bertindak sebagai antioksidan dalam badan kita,” katanya.
Kajian yang dijalankan mereka sudah memenangi beberapa anugerah
termasuk pingat gangsa sempena Ekspo Kecemerlangan Warisan Ilmu UKM dan
pingat gangsa sempena Ekspo Penyelidikan UPM, selain Anugerah Penerbitan
daripada Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) pada persidangan NSM ke 28.
Sumber:Harian Metro