Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Friday, March 6, 2009

SANGKAR IKAN AIR TAWAR LUBUK DUIT

Menyusuri Sungai Pahang di daerah Jerantut, Pahang, tentu mata tidak lepas memandang sangkar-sangkar ikan air tawar yang meriah menghiasi tebing sungai.

Industri ikan sangkar sebenarnya memberikan pulangan lumayan kepada penternak jika mereka mengusahakannya secara bersungguh-sungguh.

Antara penternak ikan air tawar yang berjaya di daerah Jerantut, Isharum Bujang, 47, yang telah melibatkan diri dalam industri ternakan ikan sangkar seperti patin dan tilapia sejak 10 tahun lalu.

Bermula dengan modal RM10,000, bekas tentera ini membina dua buah sangkar berukuran 10 kaki x 12 kaki x 5 kaki bagi ikan patin dan tilapia dengan bekalan benih diambil daripada pembekal di Rawang, Selangor.

"Biarpun nampak remeh tetapi sebuah sangkar ikan menelan kos antara RM3,500 hingga RM4,000 bergantung kepada mutu dan upah menarik sangkar ke sungai dan tidak termasuk kos anak benih.

"Harga anak benih ikan patin bersaiz empat inci berharga antara 50 hingga 70 sen seekor berbanding ikan tilapia 40 hingga 50 sen pada saiz yang sama,'' katanya yang tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau geran daripada agensi kerajaan atau swasta.

Terdapat 80 sangkar ikan yang dipunyai oleh lima individu berlainan diletakkan sepanjang Sungai Pahang di Kampung Lada, Jerantut Feri, Jerantut.

Isharum berkata, ikan patin dan tilapia boleh dijual selepas lima atau enam bulan ketika beratnya antara 500 hingga 700 gram.

"Permintaan ikan dengan berat lebih kurang 600 gram amat menggalakkan," katanya.
Biasanya satu sangkar yang menempatkan antara 1,000 hingga 1,200 ekor benih ikan boleh mengeluarkan sehingga satu tan ikan bagi satu musim.

"Bagaimanapun bukan semua benih ikan yang dilepaskan akan hidup dan membesar kerana sebahagiannya akan mati," jelas beliau.

Mengenai pasaran, Isharum berkata, permintaan ikan patin dan tilapia sangkar amat menggalakkan terutama di pasar tani, pemborong dan pasar besar Jerantut.

Satu kilogram ikan patin dan tilapia biasanya dijual secara runcit dengan harga RM13 hingga RM14 sekilogram.

"Setakat ini kami tidak dapat memasarkan hasil ikan ke kawasan lain di Pahang kerana hasil yang dikeluarkan masih belum mencukupi,'' kata Isharum yang berasal dari Jerantut.
Sementara itu seorang lagi penternak ikan air tawar, Zanuari Abd. Halim, 42, mula menternak dengan empat sangkar ikan.

Anak jati Jerantut yang menternak ikan patin, tilapia dan beberapa jenis ikan air tawar lain mengakui permintaan yang diterima melebihi bekalan.

"Kami tidak dapat mengeluarkan ikan dengan banyak kerana kami menghadapi masalah dengan bekalan benih dan harga makanan ikan yang semakin mahal.

"Benih ikan yang dibeli kadang-kala kurang berkualiti walaupun dibeli di tempat yang sama dan benih yang kurang bermutu akan menyebabkan ikan lambat membesar untuk dipasarkan," katanya berusaha mencari benih ikan yang berkualiti.

Kata Zanuari, selain itu ikan sangkar juga sering terdedah kepada risiko kematian akibat cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat, banjir kilat serta masalah berkaitan dengan pencemaran air.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan sangkar, Mohamad Zuhran Mat Ali, 36, pula menjadikan ternakan ikan sangkar sebagai pendapatan sampingan sejak enam tahun lalu.

Beliau yang bekerja sebagai kontraktor telekomunikasi kini mempunyai 30 buah sangkar berkata, harga makanan ikan yang semakin meningkat menjadikan penternak semakin tersepit.
Petikan dari Utusan Online....

HASIL CILI LUMAYAN

Walaupun pernah gagal mengusahakan tanaman cili merah sebelum ini, Abd. Latif Mohd. Yusof, 48, tidak pernah kenal erti putus asa.
Sebelum ini, tanaman cili yang diusahakan di Paya Kangsar, Jerantut, Pahang diserang dengan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan cili yang tidak dihasilkan tidak bermutu dan terpaksa dimusnahkan.
Biarpun gagal buat kali pertama, Abd. Latif tetap dengan usaha terus mengusahakan ladang cili kulai merah di tanah seluas lima ekar secara sambilan di Kampung Perian, Jerantut, Pahang.
Beliau yang membeli benih cili merah kulai di sekitar Jerantut mengusahakan ladang cili buat kali kedua memilih tanaman ini kerana harga cili yang tinggi dan permintaan yang semakin meningkat.
Walaupun baru enam bulan ditanam, cili merah yang ditanam telah mula mengeluarkan hasil kira-kira 500 kilogram cili sehari.
Beliau memasarkan cili merahnya kepada pemborong yang datang dari pasar Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Borong Selayang, Selangor. Bekerja sepenuh masa sebagai pemborong getah, Abd Latif berkata, tanaman cili merah memerlukan penjagaan yang rumit.
Katanya, tanaman cili merah amat terdedah kepada pelbagai risiko penyakit akibat hama, kulat, virus dan serangan pelbagai jenis serangga perosak.
"Sejak mula ditanam sehingga berbuah selepas empat bulan, pokok cili merah memerlukan kos penjagaan yang tinggi sekitar RM40,000 sehingga mengeluarkan hasil," katanya semasa ditemui di ladangnya, baru-baru ini.
Pokok cili memerlukan penjagaan dan pengurusan yang rapi dengan semburan racun serangga dilakukan setiap tiga hari.
Beliau yang mempunyai enam pekerja, menjalankan tugas pembajaan setiap minggu selain penyiraman setiap petang.
Ketika ditanya mengapa tidak mempelbagaikan tanaman dengan cili padi, Abd Latif berkata, cili padi memerlukan tenaga pekerja yang lebih banyak untuk tugas-tugas memetik cili.
"Walaupun harga cili padi lebih tinggi tetapi masa memetik cili lebih lama berbanding cili merah," katanya.
Beliau berhasrat untuk membesarkan lagi keluasan ladang cili merahnya kerana mengeluarkan hasil dalam tempoh lebih lama.
Pokok cili, kata Abd Latif, boleh mengeluarkan hasil sehingga setahun sebelum ditanam semula.
"Selepas ini, saya akan tetap terus menanam cili merah sehingga saya boleh dikatakan penanam cili merah yang berjaya di daerah Jerantut, Pahang.
"Saya akan berusaha mengawal semua jenis penyakit dan serangga yang menyerang pokok cili merah," katanya.
Petikan dari Utusan Online...

Tuesday, February 24, 2009

Lagi ladang cendawan di Kelantan

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Jabatan Pertanian Negeri Kelantan bersedia untuk menggalakkan perladangan dan pemprosesan cendawan di bawah pelan induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Malaysia kini mengeluarkan 24,000 kilogram cendawan setiap hari, masih jauh daripada permintaan tempatan sebanyak 50,000 kilogram.

Untuk menggalakkan peladang menanam tanaman itu, jabatan itu menganjurkan pelbagai kursus latihan mengenai penanaman cendawan dan pemprosesan makanan, kata ECER dalam kenyataannya.

Antara peserta yang mendapat faedah daripada kursus itu ialah Rosmaizan Che Abdullah, yang memulakan perniagaan cendawan goreng dengan jayanya.

"Saya mula dengan menjual 20 bungkus cendawan goreng pada September tahun lalu, dan nampaknya ia menjadi makanan ringan yang digemari. Sekarang, pengeluaran telah meningkat kepada enam kilogram cendawan setiap hari bagi pengeluaran lebih daripada 100 bungkus cendawan goreng," kata Rosmaizan.

Sasaran beliau ialah untuk menjual 500 bungkus cendawan goreng dan memasarkan produk itu di pasar raya di seluruh Kelantan dan negeri lain.

Cendawan tiram yang dikeluarkan dikatakan boleh merangsang pengedaran darah dengan lebih baik sambil menurunkan tekanan darah, pengumpulan lipid dan paras glukosa.

Setakat tahun lepas, sebanyak 334 ladang komersial cendawan ditubuhkan di Malaysia, dengan Johor mencatatkan bilangan tertinggi sebanyak 67 buah ladang.- Utusan Online

Pastikan projek jagung manis lancar

BUKIT KAYU HITAM 22 Feb. - Kerajaan negeri Kedah diminta untuk terus memberikan kerjasama kepada Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. bagi memastikan projek tanaman jagung manis di Felda Bukit Tangga akan terus berjalan lancar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagi memastikan projek itu terus berjalan, Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. akan melaksanakan program perladangan kontrak jagung manis untuk membantu para petani di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkatkan pendapatan mereka.

''Sime Darby telah membelanjakan sebanyak RM13 juta bagi membangunkan infrastruktur seperti asrama dan sebagainya di kawasan ini.

''Projek ini hanya menunggu kelulusan tanah dan kerjasama daripada kerajaan negeri Kedah kerana tempoh untuk menjalankan program ini agak terlewat disebabkan masalah tanah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat Ladang Jagung Manis Sime Farms yang merupakan projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Projek penanaman jagung manis di kawasan seluas 324 hektar ini dimulakan pada tahun 2006 dan Sime Darby telah diberi tanggungjawab untuk menerajui projek NCER di dalam sektor pertanian.

Menurut Mustapa, tanaman jagung manis ini mempunyai prospek yang baik di pasaran dan jagung-jagung manis ini mempunyai kualiti yang baik dan menepati kehendak pengguna.

''Kita berharap urusan tanah dengan kerajaan negeri akan berjalan lancar dan program perladangan kontrak jagung manis ini akan segera berjalan,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Plantation, Datuk Azhar Abd. Hamid berkata, mengikut perancangan di dalam program perladangan kontrak tersebut, seramai 60 peserta akan diberikan kursus selama enam bulan tentang cara-cara penanaman jagung manis oleh Sime Darby.

''Sesiapa yang berumur antara 18 hingga 60 tahun yang berminat untuk menyertai program ini amat digalakkan untuk memohon.

''Dalam tempoh tersebut elaun sebanyak RM600, kemudahan asrama dan makan minum akan diberikan kepada peserta secara percuma,'' ujarnya.

Azhar menjelaskan, projek perladangan kontrak ini akan dilaksanakan sekitar bulan April jika proses urusan tanah dengan kerajaan negeri berjalan lancar.

''Para peserta akan diberikan kursus tentang cara-cara untuk menanam jagung manis ini dan selepas tamat kursus mereka boleh menanam sendiri jagung manis di bawah seliaan pegawai Sime Darby,'' tambahnya.

Petikan dari Utusan Online...

Pekasam ikan keli dipasarkan di hotel


MENYELERAKAN... Pekasam ikan keli enak dihidangkan bersama nasi dan pulut.


ARAU 23 Feb. - Pertubuhan Peladang Kawasan A1 (PPK A1), Guar Sanji, di sini akan memperbesarkan lagi projek pekasam ikan keli secara berjadual untuk manfaat ahli.

Pengerusinya, Ilias Ali berkata, salah satu perancangannya ialah memasarkan pekasam tersebut ke hotel-hotel dan restoran terkemuka di Perlis.

Pada sama yang sama kata beliau, pihaknya juga akan menambah kios PPK A1 di beberapa pasar raya termasuk yang sedia ada di Giant Sungai Petani, Kedah.

''Projek menghasilkan pekasam ikan keli ini secara tidak langsung telah memberikan pendapatan sampingan kepada sebahagian keluarga ahli PPK ini sendiri.

''Contohnya, seorang wanita yang bekerja menghasilkan pekasam ikan keli dengan kami boleh mendapat gaji kira-kira RM320 sebulan," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi suri rumah yang mengambil upah membuat mini popia berasaskan pekasam ikan keli pula, mereka boleh mendapat kira-kira RM200 sebulan.

''Pendapatan itu belum lagi dikira membuat serunding berasaskan pekasam ikan keli yang boleh mendapat gaji kira-kira RM200 sebulan," ujarnya.

Kata beliau lagi, ini bermakna, industri hiliran berasaskan ikan keli dan pekasam ikan keli, seseorang suri rumah yang bekerja dengan PPK A1 boleh memperolehi pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM600 sebulan.

''Saya bagi pihak PPK A1 amat berterima kasih kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang banyak membantu kami menjayakan projek ini.

''Tanpa bantuan MADA terutama yang membekalkan kepakaran dan pelbagai idea bernas, tentunya kami tidak mampu mencapai matlamat sebagaimana yang disasarkan," tegasnya.

Related Posts with Thumbnails