Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, February 24, 2009

Pastikan projek jagung manis lancar

BUKIT KAYU HITAM 22 Feb. - Kerajaan negeri Kedah diminta untuk terus memberikan kerjasama kepada Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. bagi memastikan projek tanaman jagung manis di Felda Bukit Tangga akan terus berjalan lancar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagi memastikan projek itu terus berjalan, Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. akan melaksanakan program perladangan kontrak jagung manis untuk membantu para petani di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkatkan pendapatan mereka.

''Sime Darby telah membelanjakan sebanyak RM13 juta bagi membangunkan infrastruktur seperti asrama dan sebagainya di kawasan ini.

''Projek ini hanya menunggu kelulusan tanah dan kerjasama daripada kerajaan negeri Kedah kerana tempoh untuk menjalankan program ini agak terlewat disebabkan masalah tanah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat Ladang Jagung Manis Sime Farms yang merupakan projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Projek penanaman jagung manis di kawasan seluas 324 hektar ini dimulakan pada tahun 2006 dan Sime Darby telah diberi tanggungjawab untuk menerajui projek NCER di dalam sektor pertanian.

Menurut Mustapa, tanaman jagung manis ini mempunyai prospek yang baik di pasaran dan jagung-jagung manis ini mempunyai kualiti yang baik dan menepati kehendak pengguna.

''Kita berharap urusan tanah dengan kerajaan negeri akan berjalan lancar dan program perladangan kontrak jagung manis ini akan segera berjalan,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Plantation, Datuk Azhar Abd. Hamid berkata, mengikut perancangan di dalam program perladangan kontrak tersebut, seramai 60 peserta akan diberikan kursus selama enam bulan tentang cara-cara penanaman jagung manis oleh Sime Darby.

''Sesiapa yang berumur antara 18 hingga 60 tahun yang berminat untuk menyertai program ini amat digalakkan untuk memohon.

''Dalam tempoh tersebut elaun sebanyak RM600, kemudahan asrama dan makan minum akan diberikan kepada peserta secara percuma,'' ujarnya.

Azhar menjelaskan, projek perladangan kontrak ini akan dilaksanakan sekitar bulan April jika proses urusan tanah dengan kerajaan negeri berjalan lancar.

''Para peserta akan diberikan kursus tentang cara-cara untuk menanam jagung manis ini dan selepas tamat kursus mereka boleh menanam sendiri jagung manis di bawah seliaan pegawai Sime Darby,'' tambahnya.

Petikan dari Utusan Online...

Related Posts with Thumbnails