Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, February 24, 2009

Menternak ikan laut di atas daratan


Mohd. Nasir Mohd. Rashid bersama peserta mentor-mentee meninjau kolam-kolam ikan yang diusahakannya.


PADA awal pembabitannya, begitu banyak cabaran dan tidak kurang juga cemuhan yang kurang enak didengar terpaksa dihadapi.

Sememangnya usaha mempelopori kaedah ternakan ikan laut di daratan dan di tengah-tengah masyarakat nelayan konvensional seperti di Pulau Pangkor boleh dianggap sesuatu yang pelik.

Namun bagi usahawan muda, Mohd Nasir Mohd Rashid, walaupun pernah dicemuh kurang siuman dan menjadi sasaran surat layang menuduh projek yang diusahakannya tidak mampu bertahan lama, ia sebenarnya lebih membakar semangat dan menjadikan beliau semakin berani untuk mencuba.

Berbekal iltizam yang menggunung ditambah pengalaman berliku semasa mula-mula menceburi perniagaan feri ulang-alik Lumut-Pulau Pangkor empat tahun lepas, Global Hi-Q (M) Sdn. Bhd., satu daripada syarikat yang diterajuinya komited menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat Taiwan bagi melaksanakan kaedah itu di sebuah kawasan di Teluk Air Dalam di Pulau Pangkor sejak setahun yang lepas.

Projek berkonsepkan agro-pelancongan membabitkan kawasan seluas 20 hektar di Teluk Dalam yang dirasmikan majlis pecah tanahnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Mei 2007 kini mula membenihkan kejayaan selepas pelaburan kira-kira RM20 juta.

Kini, usahawan berusia 38 tahun ini boleh tersenyum bangga kerana setiap titik peluh dan keringat yang dicurahkan bagi memajukan penternakan ikan laut dalam di daratan yang satu ketika dahulu dianggap tidak masuk akal telah mula membuahkan hasil dan nikmatnya akan turut dikecapi usahawan lain.

''Ketika mula terbit idea ini, ramai yang anggap saya gila namun berkat kesungguhan diri dan rakan-rakan lain, segalanya berjaya diharungi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, menerusi kaedah bioteknologi yang diperkenalkan Global Hi-Q, nelayan kini tidak perlu lagi mengambil risiko menempuh badai dan ribut untuk ke laut menangkap ikan, sebaliknya hanya perlu menternak ikan berkenaan di kolam.

"Melalui formula itu, ikan laut diternak dalam kolam yang dibina khas di atas daratan dengan menggunakan penapis khas,'Hi-Q Eco Magic yang lengkap dengan pelbagai keperluan pembiakan ikan dan pengawalan kandungan air," katanya.

Katanya, buat masa ini pusat ternakan yang dibangunkannya itu mempunyai 100 kolam dengan keluasan setiap satu antara 4X4 meter persegi dan 6X6 meter persegi yang mampu menghasilkan kira-kira 6 juta benih ikan setahun untuk tujuan eksport dan domestik.

Kolam ternakan ikan laut di darat itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan syarikat berhasrat menjadi pembekal utama anak ikan kerapu negara.

Mohd Nasir berkata, kolam-kolamnya mampu mengeluarkan kira-kira 1.4 juta anak ikan setiap pusingan pembiakan antara dua dan tiga bulan dan sebahagian besarnya adalah anak ikan kerapu yang mendapat permintaan tinggi daripada penternak.

Bagi ikan kerapu yang diternak sehingga matang, Mohd Nasir berkata, ikan yang diternak mengambil masa 10 bulan untuk mencapai berat antara 600 dan 800 gram seekor sebelum dieksport ke China dan Hong Kong dengan harga AS$16 sekilogram.

Katanya, air laut yang digunakan dalam ternakan ini akan disaring daripada pelbagai sudut seperti mengukur kandungan piawaian air selain melakukan proses menyahtoksik terutama jika ada bahan kimia dalam air bagi membolehkan air berkenaan menjadi bersih dan sesuai untuk kehidupan ikan.

''Di Taiwan, teknologi itu dikaji sejak 22 tahun lepas dan ia mempunyai potensi untuk berkembang dalam sektor ini. Berdasarkan kemajuan itu, adalah sesuatu yang tidak rugi jika Global Hi-Q menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat di negara berkenaan bagi melaksanakan kaedah itu di sebuah kawasan di Pulau Pangkor," katanya.

Teknologi ternakan ikan di darat yang dibawa dari Taiwan ini adalah yang terbaik kerana ia tidak memerlukan kawasan yang luas malah membawa pulangan dengan cepat, kos pengurusan yang minimum dan kadar keuntungan yang tinggi, katanya.

''Air laut di sekitar Pulau Pangkor pula bersih dan tidak tercemar," katanya.

Mohd Nasir berkata, antara kelebihan menggunakan teknologi itu ialah pengusaha tidak perlu menukar air sehingga enam bulan kerana bahan yang terkandung dalam penapis dapat mengawal kadar ketumpatan (PH) air serta menyah bahan kimia berbahaya dalam takungan berkenaan.

Katanya, penapis Hi-Q Eco Magic mengandungi lebih 70 bahan mineral semulajadi yang diperoleh dari dasar laut yang mempunyai pelbagai fungsi untuk merawat air serta pembentukan plankton secara semula jadi.

"Melalui teknologi itu, pengusaha tidak perlu menggantikan air atau menggunakan alat sokongan lain kerana penapis serta kandungan mineral alat terbabit dapat menyediakan segala keperluan untuk tujuan penternakan dan ia merupakan sesuatu yang hampir mustahil dilaksanakan sebelum ini," katanya.

Apa yang lebih membanggakan Mohd Nasir ialah cita-citanya untuk berkongsi kejayaan dengan penduduk setempat sudah mula menampakkan hasil.

"Saya berpegang kepada prinsip yang kaya dan berjaya mesti menolong yang susah dalam apa perkara sekali pun. Kini dengan kerjasama Mara, kami telah berjaya mewujudkan kumpulan 15 usahawan perintis yang terdiri daripada masyarakat tempatan yang akan memulakan projek ternakan ikan di bawah program Mentor-Mentee," katanya.

Program yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan peserta sebagai mentee yang terpilih bakal memperoleh pinjaman antara RM200,000 dan RM300,000 bagi memulakan projek tersebut.

Global Hi-Q akan bertindak selaku penjamin kepada pinjaman berkenaan kerana mereka yakin projek ternakan ikan tersebut mempunyai potensi besar dan bakal menghasilkan pendapatan lumayan.

"Program ini sebahagian daripada usaha syarikat untuk melahirkan sekurang-kurangnya 200 usahawan tempatan yang menjalankan ternakan ikan laut di darat selain menyahut cabaran kerajaan untuk melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya.

"Setiap peserta akan membuka kolam masing-masing yang setiap satunya berkapasiti memelihara 20,000 ekor ikan dan selaku mentor, Global Hi-Q akan menyediakan bantuan tenaga pengajar serta maklumat teknikal selain memasarkan anak ikan yang dipelihara nelayan moden ini," katanya.

Berdasarkan kejayaan pelaksanaannya di Taiwan, Mohd Nasir berkata, setiap peserta dijangka mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM7,000 sebulan dan mampu membayar balik pinjaman Mara dalam masa tiga atau empat tahun.

"Tidak pernah dilaksanakan oleh mana-mana mentor seumpama, Global Hi-Q akan bertindak sebagai penjamin kepada usahawan terlibat. Kita akan menyediakan gaji bulanan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan sehinggalah ternakan mereka mampu dituai kelak dan ia diperkenalkan demi memastikan masing-masing tidak terbeban dengan masalah kewangan," katanya.

Dijamin sepenuhnya pasaran ikan laut dalam yang diternak oleh mentee terlibat, Global Hi-Q turut berhasrat bergelar pusat pembekal utama anak-anak ikan kerapu negara dan sekali gus akan membantu pengusaha tempatan mendapatkan anak ikan lebih bermutu pada harga murah.

"Kita yakin industri ternakan ikan dalam sangkar akan berkembang pesat di negara ini tetapi sasaran itu sukar dicapai jika masih perlu bergantung kepada bekalan benih import dengan harga yang lebih mahal dan kadar kematian benih yang agak tinggi iaitu antara 40 dana 50 peratus. Sampai bila kita mahu bergantung kepada negara luar," katanya.

Mohd Nasir berkata, sebagai anak tempatan yang dahulunya hidup dalam serba kekurangan, tiada apa yang lebih bermakna jika projek berkenaan tidak memberi manfaat kepada warga Pangkor sendiri, dan menambah kata, terlalu banyak yang mahu dilakukan bagi membantu memajukan kampung halamannya itu.

"Sebagai anak orang susah, saya pastikan setiap apa yang diperoleh dikongsi bersama masyarakat setempat. Bagi saya, kekayaan bukanlah satu kejayaan tetapi hakikatnya keberkatan dalam menjalankan perniagaan adalah segalanya," katanya. - BERNAMA

Petikan dari Utusan Online...

Related Posts with Thumbnails