Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, July 30, 2009

Sentral: Pengusaha pisang nipah rugi

Penyakit misteri serang sebahagian besar tanaman

JASIN: Pengusaha pisang nipah daerah ini kini resah apabila tanaman itu yang mereka usahakan secara besar-besaran, kini kebanyakannya rosak teruk sehingga tidak boleh dimakan langsung, dipercayai akibat diserang penyakit misteri sejak beberapa bulan lalu.

Serangan penyakit yang belum dikenal pasti puncanya itu berlaku di hampir kebanyakan kebun atau ladang dan difahamkan menular dengan cepat sejak beberapa minggu lalu. Antara yang teruk terjejas adalah pengusaha kebun di Perkampungan Tersusun Lipat Kajang.

Seorang pengusaha, Ahmad Baharuddin, berkata penyakit yang menyerang ladang pisangnya dikesan sejak awal bulan lalu dan setakat ini, sudah memusnahkan beberapa hektar tanaman itu walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Katanya, jangkitan misteri itu dilaporkan turut melanda beberapa kawasan ladang dan kebun pisang di Johor seperti Tangkak dan Muar hingga menyebabkan ramai pengusaha di situ kerugian besar berikutan belum ada langkah membendungnya diambil.

"Saya kini sangat bimbang kerana jika tiada langkah segera diambil pihak berkuasa bagi membantu mengatasinya, kemungkinan ladang pisang milik saya ini akan turut musnah semuanya. Setakat ini, beberapa hektar ladang pisang saya sudah musnah akibat penyakit misteri ini," katanya ketika ditemui di ladangnya.Tinjauan mendapati, pisang nipah yang diserang penyakit misteri ini berwarna kehitam-hitaman, seolah-olah seperti terkena letupan apabila isinya turut merekah dan pecah. Selain buah muda, ada juga buah yang hampir masak menjadi mangsa.

Lazimnya, buah pisang nipah yang terkena penyakit itu akan berair pada peringkat awal sebelum bertukar menjadi kehitam-hitaman beberapa minggu selepas itu.

Ahmad yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Jasin berkata, setakat ini beliau kerugian lebih RM10,000 apabila semua pisang dari ladangnya di Perkampungan Tersusun Lipat Kajang dan Kampung Terentang diserang penyakit itu.

"Kerugian ini belum lagi mengambil kira hasil pisang yang akan datang dengan anggaran melebihi RM50,000. Pendapatan bulanan yang saya peroleh juga semakin merosot daripada RM5,000 hingga RM6,000 sebulan sebelum ini.

"Ramai petani yang menanam pisang nipah secara kecil-kecilan juga bakal hilang punca pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan sekiranya penyakit ini tidak dikawal secara berkesan oleh pihak berkuasa terbabit," katanya.

Satu tandan pisang nipah boleh mencapai berat antara 10 dan 20 kilogram, yang dijual pada harga RM1.50 sekilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Terentang itu berkata, beliau sudah memaklumkan serangan penyakit itu kepada Jabatan Pertanian Melaka sebelum ini tetapi hanya diberikan tunjuk ajar mengenai langkah pencegahan serta cara melupuskan tanaman berkenaan.

"Saya berharap pihak berkenaan dapat menyediakan sedikit peruntukan kepada pekebun seperti kami ini untuk mengatasi serangan penyakit berkenaan. Ia kerana, sudahlah mengalami kerugian, selepas itu kami perlu pula mengeluarkan belanja bagi menangani masalah ini.

"Diharap pegawai jabatan yang berpengalaman dapat memberi perhatian sewajarnya dalam membantu membekalkan racun sesuai kepada pekebun untuk mencegah penyakit ini supaya hasil tanaman tidak lagi terjejas di masa depan," katanya.

Ahmad berkata, serangan penyakit itu jika tidak dicegah lebih awal, pengeluaran hasil tanaman berkenaan akan terjejas, sekali gus menyebabkan ramai pengusaha kecil di kawasan sekitar daerah terbabit mengalami kerugian besar.

"Buah pisang yang diserang penyakit ini sudah tidak boleh dimakan begitu saja. Tambah merunsingkan, pisang nipah ini mendapat permintaan tinggi kerana keenakannya dibuat pisang goreng dan kerepek pisang tetapi ia tidak dapat dipasarkan," katanya.

Tinjauan di kawasan itu juga mendapati banyak pisang nipah yang rosak akibat serangan penyakit berkenaan dilonggokkan di tepi ladang.

Selain itu, kelihatan beberapa pekerja ladang sedang menyembur racun ke atas tanaman berkenaan sebagai langkah pencegahan, namun difahamkan tindakan itu masih lagi tidak berkesan.

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my

Related Posts with Thumbnails