Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, July 30, 2009

Timur: 30 Orang Asli sertai projek ternak biri-biri

PEKAN: Seramai 30 Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) di Runchang, dekat sini, sudah mula bekerja sebagai penternak biri-biri menerusi projek Agropolitan bagi membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan tegar, sejak seminggu lalu.

Mereka yang juga sebahagian daripada 1,450 keluarga miskin tegar yang terbabit dengan projek itu, membiasakan diri memberi makan dan membersihkan enam kandang yang menempatkan 649 biri-biri jenis Dropers dari Australia.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer), Zulkifli Yaakob, berkata kumpulan Orang Asli berkenaan sudah dapat membiasakan diri dengan rutin harian baru mereka dan menunjukkan sikap positif.

"Mereka dapat menerima pekerjaan baru menternak biri-biri selepas seminggu berbuat demikian. Ia secara tidak langsung memberi harapan kepada mereka, projek ini membolehkan mereka memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan," katanya ditemui sempena lawatan media ke tapak projek itu di Runchang, dekat sini semalam.

Zulkifli berkata, 649 biri-biri yang tiba Rabu lalu selepas menempuh perjalanan lebih 10 jam dari Australia, dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah tahap kesihatan biri-biri ini memuaskan dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini. Setakat ini, tiada yang mati dan kita akan terus memantau dan menyelenggara dengan baik," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya kira-kira 20 peratus daripada haiwan yang diimport akan mati selepas seminggu mengikuti proses pemindahan kerana tekanan dan perubahan cuaca.

"Ini adalah satu kejayaan bagi kita sekali gus membuktikan bahawa kita membuat keputusan tepat memilih biri-biri ini bagi melaksanakan projek Agropolitan untuk membantu Orang Asli dan rakyat miskin tegar di daerah ini," katanya.

Zulkifli berkata, semua biri-biri itu ditempatkan dalam enam unit pengeluaran haiwan (APU) yang diperbuat daripada besi galvani dan setiap satu memuatkan 100 biri-biri iaitu empat biri-biri jantan dan 96 ekor biri-biri betina.

Sementara itu, seorang peserta Orang Asli, Azlan Normien Awang, 22, berkata, kerja menternak biri-biri tidak susah kerana haiwan ternakan itu jinak dan mudah mesra dengan manusia.

"Pihak Ecer juga sudah menyediakan kursus asas ternakan biri-biri bagi memudahkan kami untuk melakukan kerja memberi makan dan membersihkan kandang," katanya yang berasal dari suku Jakun.

Related Posts with Thumbnails