Oleh Mohd Sabran Md Sani
Jika ikutkan hati, mahu saja penulis turun ke dalam kolam untuk turut
sama dua pekerja dari Timor Leste menjaring udang galah atau lebih
dikenali kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Pak Janggut’.
Gelagat dua pekerja terbabit menolak jaring hingga ke tepi kolam
membuatkan penulis tidak sabar ingin tahu lebih lanjut hasil tangkapan
yang akan didaratkan mereka.
Hampir sejam mereka menarik jaring dan akhirnya udang galah bersepit
biru ditangkap satu persatu untuk diasingkan ke dalam sebuah raga.
Ibarat
tidak menang tangan kedua-duanya memasukkan udang galah ke dalam bekas
khas, sambil diperhatikan majikannya, Low Chong Ming, 49.
DUA
pembantu perikanan Bahagian Akuatik, Jabatan Perikanan, Hamizah
Mohamad, 25, (kiri) bersama rakannya Cenderawati Gohuk, 24, memegang
udang galah.
Keadaan sunyi sepi kawasan sekeliling tiba-tiba bertukar gelak tawa, apabila nama vokalis band Peterpan, Ariel menjadi sebutan.
Tidak pasti mengapa tiba-tiba nama itu disebut, tapi ia
memudahkan jurugambar memanggil pekerja terbabit bagi merakamkan gambar
dikehendaki dalam pelbagai posisi.
Udang galah atau nama
saintifiknya macrobrachium rosenbergii adalah haiwan tergolong dalam
keluarga palaemonidae bersifat omnivora.
Haiwan terbabit hidup di persekitaran air tawar dan air payau seperti di sungai, paya, saliran dan tasik.
Udang
galah liar banyak terdapat di sungai negara ini dan teknik menjinakkan
Pak Janggut gergasi menggunakan umpan perumpun (umpun-umpun).
Jika
kena pada seleranya, umpan segar dibeli daripada pembekal tempatan
berjaya menumpaskan udang galah yang tersohor dengan kemanisan isi dan
kelazatan khasiatnya.
Tidak semua tempat di sungai dihuni spesies udang galah, malah ia bergantung kepada musim, selain kesesuaian lubuk.
Musim
terbaik memancing udang galah selepas banjir kerana ketika itu udang
kelaparan. Pendek kata campak saja umpan, pasti udang galah menjadi
habuan.
Ketua Daerah Perikanan Jelebu, Zakaria Saleh berkata,
Projek Ternakan Udang Galah Kampung Ulu Sepri, Kuala Klawang, Jelebu,
Negeri Sembilan dibangunkan menerusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Yang
Berhormat (YB) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Antara
objektifnya membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui Projek
Penternakan Udang Galah serta membantu mengeluarkan peserta e-Kasih
daripada berada di garis kemiskinan.
“Ia juga bagi membangunkan
kawasan tanah terbiar di bawah Program Pemulihan Tanah Terbiar yang
menjadi misi utama kerajaan Negeri Sembilan dan mewujudkan satu projek
akuakultur melalui ternakan udang galah secara komersial,” katanya.
Menurutnya, keuntungan projek itu akan dinikmati 40 peserta dari Parlimen Jelebu, manakala 20 orang dari Parlimen Rembau.
“Pada masa sama, projek itu menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar udang galah terbesar di negara ini,” katanya.
Menurutnya projek itu mula mengeluarkan hasil sejak 28 Oktober 2010 dan berterusan secara berperingkat-peringkat.
“Sehingga Disember 2012, sebanyak 12,144 kilogram undang galah dengan nilai RM522,000 sudah dihasilkan.
“Udang
galah ini dipasarkan dalam dan luar negeri seperti kawasan sekitar
Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Singapura,” katanya.
Zakaria
berkata, YHL Aquaculture yang berpengalaman mengusahakan projek
penternakan udang galah hampir 12 tahun diberi kepercayaan untuk
menjayakan projek KPI.
“Syarikat ini adalah peneraju dalam
penternakan udang galah. Mereka juga mempunyai beberapa projek
penternakan udang galah di Rembau, Kuala Pilah dan Senayan.
“Hasil
jualan projek ini diagihkan kepada peserta e-Kasih kalangan warga emas
dan golongan kelainan upaya (OKU) dengan setiap mereka menerima
pendapatan bulanan sebanyak RM350. Bayaran dilakukan bermula Oktober
2010,” katanya.
Udang galah yang diternak di kolam berkenaan
menerima permintaan daripada penternak kolam memancing udang galah di
Johor Bharu dan Singapura.
“Syarikat menjual sebahagian udang
galah untuk kolam memancing dalam bentuk jualan udang hidup dan dijual
RM48 hingga RM50 sekilogram (purata 30 ekor bagi setiap kilogram),”
katanya.
Beliau berkata, anggaran hasil diperoleh pada 2010
sebanyak 1,042 kilogram dengan nilai RM44,800, 2011 sebanyak 6,500
kilogram (RM280,000) dan tahun lalu 4,500 kilogram (RM193,000).
“Namun,
kami dapati terdapat tren penurunan dari segi pengeluaran udang galah
dan sedang mengenal pasti puncanya berdasarkan kajian dilakukan di kolam
itu.
“Projek ini pun sudah menjangkau tiga tahun dan kemungkinan
kualiti tanahnya menurun. Sebahagian benih diperoleh dari Setiawan,
Perak serta Kampung Acheh dan Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.
Menurutnya,
projek penternakan udang galah dilaksanakan di tanah milik Yayasan
Negeri Sembilan seluas 10 hektar dengan kadar sewa RM12,500 setahun.
“Jabatan
Perikanan pula membantu dari aspek penyediaan kemudahan infrastruktur
seperti pembinaan 16 kolam, bekalan elektrik, roda pengayuh bagi
membekalkan oksigen, modal pusingan benih dan makanan udang.
“Laluan
memasuki jalan ke projek penternakan udang galah ini juga sudah dibaiki
bagi memudahkan hasil tuaian dipasarkan kepada pelanggan,” katanya.
Mengulas
teknik pengairan kawasan kolam katanya, ia agak unik kerana menggunakan
sumber air gunung dari dua empangan di kawasan berhampiran.
“Dalam
penternakan udang galah ini kualiti air perlu dijaga, selain alat roda
pengayuh bagi membekalkan sumber oksigen. Bekalan oksigen akan dibuka
pada waktu malam kerana ia berkurangan ketika itu.
“Kolam asuh
akan menempatkan anak udang galah untuk diternak dalam tempoh dua bulan
sebelum ditangkap semula dan dipindahkan ke kolam ternakan,” katanya.
Setiap
kolam akan menempatkan sekitar 40,000 hingga 45,000 udang galah dengan
agihan setiap satu meter persegi membabitkan 14 ekor.
“Anak udang galah akan diberikan makan empat kali sehari, manakala yang bersaiz besar dua kali sehari.
“Bekalan anak benih diperoleh dari hatcheri swasta di Manjung, Perak; Pulau Pinang dan Alor Setar,” katanya.
Sumber:harian metro